NEW YORK, 22 SEPT – Pendedahan kepada bahan kimia yang lazim terdapat dalam plastik semasa zaman kanak-kanak boleh menimbulkan risiko kesihatan yang serius sehingga dewasa, menurut analisis ratusan kajian terkini yang diterbitkan hari ini dalam jurnal The Lancet Child & Adolescent Health, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Kajian itu turut memberi amaran, plastik dalam alam sekitar boleh mengancam kesihatan kanak-kanak, dengan menekankan tiga kumpulan utama bahan kimia iaitu ‘phthalates’ yang meningkatkan kelenturan; ‘bisphenols’ yang menambah kekuatan dan ‘polyfluoroalkyl’ (PFAS) yang menjadikannya kalis haba dan air.
Pengarang utama, seorang profesor pediatrik di Sekolah Perubatan NYU Grossman, New York, Leonardo Trasande berkata, bahan kimia tersebut terdapat dalam barangan biasa termasuk pembungkusan makanan, kosmetik malah resit kertas.
Sebagai contoh, memanaskan plastik dalam ketuhar gelombang mikro boleh membebaskan mikroplastik dan nanopartikel yang kemudiannya mungkin tertelan.
Kajian itu menyatakan terdapat bukti kukuh, bahan daripada produk plastik menyumbang kepada penyakit pelbagai organ dan mengganggu fungsi hormon, berdasarkan kajian makmal dan manusia. – Bernama


