WASHINGTON, 3 OKT – Ikan lumba-lumba bottlenose menggunakan isyarat muka mesra untuk menunjukkan niat tidak bermusuhan kepada rakan sepermainannya dan isyarat tersebut dibalas dengan cara yang sama, menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal iScience, kelmarin.
Penemuan itu didedahkan oleh ahli biologi evolusi, Elisabetta Palagi dari Universiti Pisa, yang mendapati bahawa mamalia laut pintar ini menggunakan isyarat visual serupa dengan manusia ketika berkomunikasi semasa bermain.
Palagi dan rakan penyelidiknya, Livio Favaro dari Universiti Turin, pada mulanya menyedari tingkah laku ini secara kebetulan semasa memerhatikan permainan ikan lumba-lumba. “Kami mendapati ikan lumba-lumba sering membuka mulut di hadapan satu sama lain tanpa menggigit, yang menjadi tanda permulaan permainan,” kata Palagi kepada AFP.
Mereka kemudian menjalankan kajian lanjutan bagi melihat sama ada isyarat tersebut bertujuan mengelakkan permainan daripada bertukar menjadi pergaduhan sebenar, yang melibatkan aktiviti seperti akrobatik, mengejar, bermain dengan objek dan memukul ekor.
Walaupun banyak haiwan lain seperti primat dan beruang telah lama diketahui menggunakan gerakan mulut terbuka sebagai tanda permainan, belum ada bukti kukuh bahawa ikan lumba-lumba turut melakukannya.
Untuk mengesahkan penemuan itu, para penyelidik merakam ratusan sesi permainan dalam kalangan ikan lumba-lumba bottlenose dalam kemudahan di Itali dan Perancis, di mana ia bermain secara berpasangan dan berinteraksi secara bebas dengan pelatih manusia. Kajian mendapati bahawa ikan lumba-lumba kerap menunjukkan ‘senyuman’ semasa berinteraksi sesame pasangannya, dan isyarat ini jarang berlaku apabila ia bersendirian atau ketika bersama manusia. – AFP