Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kajian: Kenderaan elektrik lebih mesra alam di Amerika Syarikat

    PARIS, 26 OGOS – Kenderaan elektrik (EV) didapati kurang berbahaya kepada alam sekitar berbanding kereta menggunakan petrol, walaupun di Amerika Syarikat (AS) yang masih bergantung tinggi kepada penjanaan tenaga berasaskan karbon, menurut satu kajian.

    Walaupun pemanduan kenderaan elektrik secara umumnya menghasilkan pelepasan CO2 yang lebih rendah berbanding kereta petrol, bateri berat yang digunakan memerlukan mineral nadir bumi dan proses pengeluarannya lebih intensif tenaga berbanding kenderaan lain.

    Penyelidik dari Universiti Michigan meneliti kitaran hayat penuh kenderaan, termasuk proses pembuatan dan penggunaannya di jalan raya.

    Kajian itu menyimpulkan bahawa pelepasan CO2 yang dijana semasa pengeluaran kenderaan elektrik sebahagian besarnya diimbangi sepanjang tempoh penggunaannya.

    “Buat pertama kali kajian ini menunjukkan bahawa BEV (kenderaan elektrik berkuasa bateri) menghasilkan pelepasan yang lebih rendah sepanjang hayatnya berbanding mana-mana jenis kenderaan lain di setiap daerah di AS,” menurut kenyataan kajian yang diterbitkan dalam jurnal Environmental Science & Technology.

    Para penyelidik menggunakan model statistik untuk menganggarkan pelepasan bagi setiap batu perjalanan di AS, dengan mengambil kira 35 kombinasi jenis kenderaan dan kaedah penjanaan kuasa. – AFP

    Kereta elektrik sedang dicas di terminal Mobisdec di Deauville, Perancis, pada 27 Julai. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda