Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kajian kesan kaitan vaping dengan 8 penyakit paru-paru

    Foto hiasan freepik

    UNITED KINGDOM – Vaping adalah alternatif yang lebih selamat daripada rokok tetapi akan meningkatkan risiko pengguna mendapat lapan penyakit paru-paru, menurut tinjauan utama.

          The Daily Mail melaporkan, kebimbangan mengenai e-rokok telah menyebabkan larangan di sekurang-kurangnya 34 buah negara, dengan United Kingdom (UK) menjadi yang terbaharu mengenakan sekatan bulan lalu, menghentikan penjualan vape pakai buang.

          Tetapi di sebalik hakikat bahawa kebanyakan negara berkenaan terus menjual rokok, termasuk Britain, penyelidikan menunjukkan vape jauh lebih kurang berbahaya dan membawa kepada kesan kesihatan yang kurang teruk.

          Pakar-pakar di Jerman menganalisis lebih 600 kajian – walaupun memfokuskan pada 11 – mengenai kesan penggunaan rokok tradisional dan e-rokok untuk menentukan perbandingan kedua-duanya.

          Mereka mendapati bahawa e-rokok dikaitkan dengan lapan masalah paru-paru iaitu asma, penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD), bronkitis, beberapa bentuk radang paru-paru dan paru-paru popcorn, atau kerosakan saluran udara kecil paru-paru.

          Walaupun sesetengah keadaan berkenaan boleh membawa maut dalam kes yang melampau, ia tidak selalunya mengancam nyawa.

          Sementara itu, merokok telah lama dikaitkan dengan keadaan membawa maut seperti kanser paru-paru, kencing manis, penyakit jantung dan strok – yang mana kadar kelangsungan hidup jauh lebih rendah.

          Para penyelidik juga menulis bahawa e-rokok “mengurangkan pendedahan kepada toksin berbahaya berbanding rokok tradisional” – dengan kajian menunjukkan e-rokok biasa mengandungi 2,000 bahan kimia berbanding lebih
    daripada 7,000 dalam rokok tradisional.

          Mereka juga mendapati dalam ulasan mereka bahawa vape mengandungi kurang nikotin ber-
    banding rokok dalam setiap sedutan, yang boleh menjadikan vape kurang ketagihan, oleh itu merosakkan kerana
    pengguna menggunakannya lebih jarang.

          Dr Michael Steinberg, pengarah Program Ketergantungan Tembakau Rutgers University, yang tidak terlibat dalam kajian itu memberitahu DailyMail.com, “Pada tahap ini, dalam pemahaman kami, bukti tidak dapat dipertikaikan bahawa e-rokok adalah kurang berbahaya daripada produk tembakau yang dibakar.

          “Walaupun berbeza-beza bergantung pada banyak faktor, risiko untuk beberapa keadaan adalah sangat kecil, seperti COPD. Walau bagaimanapun, untuk beberapa keadaan, masih terdapat beberapa kesan kesihatan, seperti asma dan penyakit kardiovaskular,” jelasnya.

          Dr Panagis Galiatsatos, pengarah Klinik Rawatan Tembakau di Johns Hopkins University, memberitahu DailyMail.com bahawa “kesan vape mewakili isu yang lebih akut” dan bukannya keadaan kronik.

          Bagaimanapun, beliau berkata, adalah penting untuk diingati bahawa “orang yang menggunakan vape masih belum mengamalkannya selama beberapa dekad” – bermakna kemudaratan kesihatan sebenarnya mungkin tidak diketahui untuk sekian lama.

          Terdapat beberapa kebimbangan mengenai jumlah logam toksik yang dikeluarkan oleh e-rokok apabila e-cecair dipanaskan dan bertukar menjadi wap.

          Ujian air kencing dan darah telah mencadangkan bahawa pengguna e-rokok mempunyai tahap plumbum dan arsenik dalam badan mereka yang lama kelamaan boleh membawa kepada masalah kesihatan.

          Penggunaan arsenik yang berpanjangan telah dikaitkan dengan kanser dan lesi kulit, manakala plumbum telah dikaitkan dengan kerosakan otak, kegagalan organ dan sawan.

          Pasukan Jerman dari Herdecke University berkenaan menyeru lebih banyak penyelidikan dan perundangan jangka panjang untuk menghalang golongan muda daripada menghisap vape, kerana lebih dua juta orang kanak-kanak seawal sekolah menengah melaporkan menggunakan vape dan separuh daripada pelajar yang mencubanya menjadi ketagih.

          “E-rokok menunjukkan pendedahan yang berkurangan kepada toksin berbahaya berbanding rokok tradisional,” tulis para penyelidik.

          “Walau bagaimanapun, kebimbangan berterusan mengenai kerengsaan pernafasan dan potensi risiko kesihatan, terutamanya dalam kalangan belia, menekankan keperluan untuk penyelidikan jangka panjang yang komprehensif dan undang-undang perlindungan.

          “Hasil kajian yang diperiksa dengan diteliti menunjukkan kesan kurang berbahaya e-rokok kepada pengguna, yang masih belum dibuktikan secara saintifik”.

          Pasukan penyelidik tersebut menilai 648 kajian yang dijalankan dari tahun 2000 hingga Jun 2023. Walau bagaimanapun, mereka memberi tumpuan terutamanya kepada 11.

          “Kajian yang diselidik secara konsisten mencadangkan bahawa e-rokok mungkin menawarkan alternatif yang kurang berbahaya untuk perokok dewasa yang tidak dapat atau tidak mahu berhenti merokok,” kata mereka.

          “Pengurangan bahan toksik berbahaya yang dihasilkan oleh e-rokok berbanding dengan pelbagai jenis bahan berbahaya yang dihasilkan oleh pembakaran tembakau adalah aspek yang menjanjikan pengurangan bahaya”.

          Mereka menentukan bahawa e-rokok cenderung mempunyai lebih sedikit toksin merosakkan di dalamnya berbanding rokok tradisional, yang mengurangkan jumlah bahan penyebab kanser yang dihasilkannya.

          Selain itu, para penyelidik menyatakan bahawa vape mengandungi kurang nikotin, mengurangkan kemungkinan pengguna menjadi ketagih.

          “Bagi perokok tembakau yang ingin berhenti merokok, pengganti e-rokok mempunyai kurang nikotin dengan kemungkinan risiko kesihatan yang lebih rendah,” tulis mereka.

          Bagaimanapun, pasukan itu juga mengaitkan vape dengan beberapa keadaan kronik, termasuk COPD dan EVALI, yang bermaksud “e-rokok atau penggunaan produk vaping yang dikaitkan dengan kecederaan paru-paru”.

          Punca sebenar kecederaan itu masih belum jelas sepenuhnya, tetapi para penyelidik telah menumpukan perhatian pada kompaun Vitamin E Acetate, yang sering digunakan sebagai agen pemekat dalam peranti vape haram.

          Tiada ujian untuk menentukan sama ada seseorang mempunyai EVALI, jadi diagnosis adalah berdasarkan simptom, termasuk sesak nafas, demam, menggigil, batuk, muntah, cirit-birit, sakit kepala, pening, degupan jantung yang cepat, dan sakit dada, menurut Persatuan Paru-paru Amerika (ALA).

          EVALI telah menyebabkan beberapa ketakutan kesihatan yang mengerikan. Seorang wanita berusia 34 tahun dari Ohio, Amerika Syarikat (AS) yang menggunakan kira-kira lapan kartrij cecair vape setiap minggu, bersamaan dengan 50 batang rokok sehari, mendapati dirinya menggunakan bantuan hayat dalam masa 24 jam selepas pergi ke penjagaan segera untuk masalah pernafasan.

          Dalam satu lagi kes yang menakutkan, seorang wanita berusia 20 tahun dari UK bernama Abby Flynn menghidap penyakit paru-paru yang jarang berlaku, digelar paru-paru popcorn, yang doktor memberi amaran boleh menyebabkannya bergantung pada mesin oksigen sebelum dia berumur 30 tahun.

          Dalam kajian baharu, vape juga dikaitkan dengan bronkitis, radang paru-paru, dan asma yang semakin teruk.

          “E-rokok boleh merosakkan saluran pernafasan. Ia boleh menyebabkan kerengsaan saluran pernafasan. Gejala yang berlaku ada-lah batuk dan berdehit,” tulis para penyelidik.

          “Bagaimanapun, keterukan akibatnya nampaknya kurang ketara berbanding rokok biasa”.

          Para penyelidik juga menyatakan bahawa vape boleh menggalakkan golongan muda untuk mula merokok kerana pelbagai perisa dan amalan pemasaran.

          “Perisa yang menarik, pemasaran yang inovatif dan kemudahan akses telah menimbulkan kebimbangan bahawa e-rokok mungkin menarik orang bukan perokok, termasuk remaja, untuk memulakan vape dan seterusnya beralih kepada menghisap rokok tradisional,” kata mereka.

          “Oleh itu, peraturan dan langkah-langkah berkesan untuk mencegah permulaan belia adalah penting dalam memanfaatkan potensi manfaat pengurangan bahaya e-rokok.”

          Laporan 2023 daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), misalnya, mendapati bahawa kira-kira 2.1 juta orang kanak-kanak kini menggunakan e-rokok. Dan kira-kira separuh daripada mereka menjadi ketagih.

          Laporan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menyatakan bahawa lebih ramai kanak-kanak berumur 13 hingga 15 tahun menggunakan vape berbanding orang dewasa di semua wilayah WHO, dibantu oleh pemasaran yang agresif. Ini menyebabkan agensi itu menggesa larangan seluruh dunia terhadap semua vape berperisa.

          Dr Steinberg, bagaimanapun, berkata bahawa “Kami tidak mempertimbangkan ‘mengharamkan’ e-rokok berperisa sementara kita terus membenarkan produk tembakau terbakar berperisa” seperti rokok mentol dan cerut berperisa kekal di pasaran.

          Para penyelidik dalam kajian baharu itu menyatakan bahawa lebih banyak penyelidikan jangka panjang diperlukan untuk benar-benar memahami kesan vaping.

          “Kesan menghisap e-rokok terhadap kesihatan belum dikaji dengan baik setakat ini. Kajian kohort terkawal perlindungan lanjut diperlukan untuk mengetahui risiko kesihatan e-rokok,” tulis mereka.

    Kajian tersebut telah diterbitkan dalam jurnal Food and Chemical Toxicology pada 6 Februari lalu. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda