Wednesday, March 19, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kajian mantap pengajaran guru

    Oleh Normazlina M.D

     

    TUTONG, 13 Julai – Bagi memantapkan lagi pengajaran guru-guru dan pembelajaran pelajar-pelajar, Pusat Tingkatan Enam (PTE) Tutong telah mengadakan forum guru-guru berdasarkan beberapa kajian yang dibuat.

    Dalam forum baru-baru ini, dua topik utama telah dibincangkan iaitu ‘Kepentingan Additional Mathematics dalam Mata Pelajaran Matematik ‘A’ Level’ yang disampaikan oleh pensyarah-pensyarah dari Jabatan Matematik dan ‘Kajian Perbandingan: Teknik Pelajar dalam Menjawab Soalan Esei Berbentuk ‘Sejauhmana’ (Penilaian dan Analisis)’ yang disampaikan oleh pensyarah-pensyarah dari Jabatan Melayu Islam Beraja (MIB).

    Menerusi kajian Jabatan Matematik, Sherman Tan Ka Liang selaku wakil dari jabatan tersebut menerangkan mengenai hasil kajian perbandingan pencapaian pelajar dalam Peperiksaan ‘A’ Level dengan latar belakang pengetahuan Matematik ‘O’ Level mereka.

    Melalui kajian tersebut, beliau menjelaskan bahawa pelajar-pelajar yang mempunyai Additional Mathematics dalam mata pendidikan ‘O’ Level akan mampu mencapai akademik Matematik ‘A’ Level dengan lebih baik berbanding pelajar-pelajar yang pernah mengambil subjek Mathematics D dalam ‘O’ level mereka.

    Sementara itu, wakil dari Jabatan MIB, Dayang Noralenie binti Nordin and Hajah Siti Rabiatul Najibah binti Haji Kahar telah memberikan pandangan tentang bagaimana pelajar PTE Tutong, dari tahun 2016 dan tahun 2017, menjawab soalan-soalan karangan dalam berbentuk ‘sejauh mana’ dan ‘seberapa jauh’.

    Timbalan Pengetua menyampaikan sijil kepada Sherman Tan Ka Liang, pensyarah dari Jabatan Matematik.
    Timbalan Pengetua menyampaikan sijil kepada Sherman Tan Ka Liang, pensyarah dari Jabatan Matematik.

    Melalui kajian ini, tutor telah memutuskan untuk menganalisis sampel karangan yang ditulis oleh pelajar-pelajar bagi menjawab soalan yang dikhususkan iaitu ‘Falsafah Melayu Islam Beraja telah dijadikan sebagai cara hidup dan budaya warisan masyarakat Brunei. Bagi pendapat anda, sejauh manakah perlaksanaan falsafah tersebut?’

    Hasil daripada kajian penceramah, setelah pelajar-pelajar diberi garis panduan kepada teknik menjawab pertanyaan esei dalam bentuk ‘sejauh mana’ atau ‘seberapa jauh’, didapati ramai pelajar mempunyai idea dan hanya segelintir pelajar dapat menerangkan dengan terperinci soalan mereka dan menjawab soalan esei mereka secara tepat.

    Dalam erti kata lain, esei pelajar masih belum mencapai tahap yang lebih standard dan mereka masih lagi dapat membuat penilaian sehingga ke kesimpulan sahaja.

    Di akhir majlis forum tersebut, Timbalan Pengetua PTE Tutong, Awang Al Masri bin Haji Sulaiman telah menyampaikan sijil kepada peserta-peserta forum.

    Turut hadir menyaksikan pembentangan forum tersebut ialah Pengetua PTE Tutong, Hajah Murni binti Abdullah dan pensyarah-pensyarah PTE Tutong.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda