Wednesday, November 27, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kajian NZ menunjukkan kesan buruk internet terhadap kanak-kanak 8 tahun

    WELLINGTON, 26 NOV – Lebih satu perempat kanak-kanak di New Zealand berusia lapan tahun terdedah kepada sekurang-kurangnya satu jenis kandungan dalam talian yang membimbangkan seperti buli, tekanan rakan sebaya atau kandungan dewasa, menurut satu kajian yang diterbitkan hari ini.

    Kajian itu melibatkan hampir 5,000 kanak-kanak berusia lapan tahun bersama dengan penilaian ibu bapa mereka terhadap emosi, tingkah laku, serta akses mereka kepada peranti digital dan media, lapor Xinhua.

    Kanak-kanak yang mengalami masalah tingkah laku atau memiliki lebih banyak peranti peribadi berisiko lebih tinggi terdedah kepada bahaya dalam talian dan dikaitkan dengan gejala kemurungan serta harga diri yang rendah, menurut penyelidik dari Universiti Canterbury.

    Memandangkan kanak-kanak semakin banyak menghabiskan masa dalam talian, terdapat risiko mereka terdedah kepada kandungan yang mengganggu, termasuk kandungan yang tidak sesuai atau dewasa, buli siber dan interaksi dengan orang asing, kata pensyarah kanan di Institut Kesejahteraan Kanak-kanak, Universiti Canterbury Megan Gath.

    Peranti permainan memberi impak terbesar dalam meningkatkan risiko bahaya dalam talian, diikuti oleh komputer atau komputer riba dan televisyen.

    Kanak-kanak yang memiliki peranti peribadi berisiko lebih tinggi terhadap bahaya dalam talian jika menggunakan peranti tanpa pengawasan orang dewasa, kata Gath, yang juga penulis kajian berkenaan.

    Kajian itu mengesyorkan agar ibu bapa mengehadkan akses kepada peranti peribadi dan menggunakan strategi yang lebih kolaboratif, berbanding kawalan untuk menguruskan penggunaan media digital kanak-kanak. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda