SYDNEY, 21 JAN – Protein yang terdapat dalam darah tiram Australia dilaporkan dapat membantu melawan bakteria yang kebal terhadap antibiotik, menurut kajian yang diterbitkan hari ini.
Dalam kajian terbaharu oleh pasukan dari Southern Cross University (SCU), protein dalam darah tiram Sydney rock oyster didapati mampu membunuh bakteria dan meningkatkan keberkesanan beberapa antibiotik terhadap pelbagai jenis bakteria.
Ujian makmal menunjukkan protein itu berkesan membunuh Streptococcus pneumoniae dan Streptococcus pyogenes, bakteria penyebab radang paru-paru dan sakit tekak. Apabila digabungkan dengan antibiotik, protein itu meningkatkan keberkesanan antibiotik antara dua hingga 32 kali ganda terhadap bakteria Staphylococcus aureus dan Pseudomonas aeruginosa.
Penyelidik mendapati bahawa protein itu tidak toksik dalam sel manusia, menunjukkan potensi untuk menghasilkan antibiotik selamat daripada darah tiram. Kajian itu menyokong penggunaan produk semula jadi daripada tiram untuk merawat jangkitan bakteria.
Bakteria yang kebal antimikrob (AMR) termasuk bakteria, virus, kulat dan parasit yang tidak lagi bertindak balas terhadap antibiotik telah dikenal pasti oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia sebagai ancaman utama kepada kesihatan awam global.
Jangkitan yang kebal AMR sukar atau hampir mustahil untuk dirawat, meningkatkan risiko penyebaran penyakit, penyakit yang teruk, kecacatan dan kematian.
Kajian itu juga mendapati protein tiram mampu membunuh patogen bakteria dalam biofilm, iaitu komuniti organisma yang melekat bersama, membolehkan mereka mengelak antibiotik dan sistem imun manusia.
“Protein tiram hemolymph didapati menghalang pembentukan biofilm, jadi bakteria kekal tersedia untuk pendedahan antibiotik pada dos yang lebih rendah,” kata pengarang bersama Kirsten Benkendorff dari Fakulti Sains dan Kejuruteraan SCU.
Beliau berkata penemuan itu memberi peluang yang baik kepada penyelidik dan industri akuakultur dan farmaseutikal untuk bekerjasama dalam membangunkan antibiotik baharu. – Xinhua