Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kajian: Remaja rasa lebih gembira tanpa telefon pintar

    AMERIKA SYARIKAT – Hampir tiga perempat daripada remaja Amerika Syarikat (AS) berkata mereka berasa gembira atau aman apabila mereka tidak membawa telefon, menurut laporan baharu daripada Pusat Penyelidikan Pew.

    Dalam tinjauan yang diterbitkan Isnin lalu itu, Pew juga mendapati bahawa walaupun terdapat perkaitan positif dengan bebas telefon, kebanyakan remaja tidak mengehadkan penggunaan telefon atau media sosial mereka.

    Tinjauan itu dibuat ketika penggubal dasar dan penyokong kanak-kanak semakin
    bimbang dengan hubungan remaja dengan telefon dan media sosial.

    Musim luruh lalu, berpuluh-puluh negeri, termasuk California dan New York, menyaman pemilik Instagram dan Facebook Meta Platforms Inc kerana merosakkan golongan muda dan menyumbang kepada krisis kesihatan mental belia dengan mereka secara sedar dan sengaja mereka bentuk ciri yang membuatkan kanak-kanak ketagih.

    Pada Januari lalu, ketua-ketua pegawai eksekutif Meta, TikTok, X dan syarikat media sosial lain pergi ke Jawatankuasa Kehakiman Senat untuk memberi keterangan tentang bahaya platform mereka kepada golongan muda.

    Gambar Freepik
    Gambar Freepik

    Walaupun kebimbangan yang semakin meningkat, kebanyakan remaja mengatakan telefon pintar menjadikannya lebih mudah untuk menjadi kreatif dan mengejar hobi, manakala 45 peratus berkata ia membantu mereka berjaya di sekolah.

    Kebanyakan remaja berkata, faedah memiliki telefon pintar mengatasi bahaya untuk orang seusia mereka. Hampir semua remaja AS (95%) mempunyai akses kepada telefon pintar, menurut Pew.

    Majoriti remaja mengatakan telefon pintar memudahkan orang seusia mereka untuk meneruskan hobi dan minat (69%) dan menjadi kreatif (65%). Hampir separuh (45%) mengatakan peranti berkenaan telah memudahkan belia untuk berjaya di sekolah.

    Kajian dijalankan dari 26 September hingga 23 Oktober 2023, antara sampel 1,453 pasangan remaja dengan seorang ibu bapa dan mempunyai margin ralat tambah atau tolak 3.2 mata peratusan.

    Beberapa dapatan lain bagi tinjauan berkenaan, kira-kira separuh daripada ibu bapa (47%) mengatakan mereka mengehadkan jumlah masa remaja mereka boleh menggunakan telefon, manakala bahagian yang sama (48%) tidak melakukannya.

    Kira-kira empat dalam 10 ibu bapa dan remaja (masing-masing 38%) mengatakan bahawa mereka kadangkala bertengkar tentang berapa banyak masa yang dihabiskan oleh remaja mereka di telefon.

    Sepuluh peratus dalam setiap kumpulan mengatakan ia sering berlaku, dengan orang Amerika Hispanik yang paling berkemungkinan mengatakan mereka sering bertengkar tentang penggunaan telefon.

    Hampir dua pertiga (64%) ibu bapa bagi remaja berumur 13 hingga 14 tahun mengatakan mereka memantau telefon pintar remaja mereka, berbanding 41 peratus dalam kalangan ibu bapa berumur 15 hingga 17 tahun.

    Sebanyak 42 peratus remaja pula mengatakan telefon pintar menjadikan pembelajaran kemahiran sosial yang baik lebih sukar, manakala 30 peratus berkata ia menjadikannya lebih mudah.

    Manakala itu, kira-kira separuh daripada ibu bapa berkata mereka menghabiskan terlalu banyak masa pada telefon mereka. Ibu bapa berpendapatan tinggi lebih berkemungkinan untuk mengatakan perkara berkenaan berbanding mereka yang berpendapatan rendah, dan ibu bapa kulit putih lebih cenderung melaporkan menghabiskan terlalu banyak masa pada telefon mereka berbanding ibu bapa hispanik atau kulit hitam. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda