Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kajian: Rokok elektronik tingkatkan risiko remaja jadi perokok

    LONDON, 20 OGOS – Kanak-kanak yang menggunakan rokok elektronik didapati lebih berisiko menjadi perokok, menghidap asma serta mengalami kesihatan mental yang lemah, menurut satu analisis terbaharu, lapor PA Media/dpa.

    Kajian global mengenai penggunaan rokok elektronik kalangan remaja mendapati ‘bukti konsisten’ kanak-kanak yang menggunakannya, tiga kali ganda lebih berkemungkinan menjadi perokok.

    Hasil kajian juga menunjukkan kaitan antara penggunaan rokok elektronik dengan peningkatan risiko penyakit pernafasan serta penyalahgunaan bahan, termasuk pengambilan alkohol dan ganja.

    Pakar dari Universiti York dan London School of Hygiene and Tropical Medicine (LSHTM) menganalisis semua ulasan yang tersedia mengenai penggunaan rokok elektronik kalangan remaja, merangkumi 56 ulasan daripada 384 kajian.

    Sebanyak 21 daripada ulasan itu meneliti penggunaan rokok elektronik dalam kalangan belia dan kaitannya dengan tabiat merokok kemudian hari.

    Gambar Freepik

    Pakar mendapati remaja yang menggunakan peranti itu bukan sahaja lebih cenderung untuk merokok pada masa depan, tetapi juga berisiko menjadi perokok tegar dengan kekerapan dan intensiti yang lebih tinggi.

    Data turut menunjukkan peningkatan risiko masalah pernafasan seperti asma atau serangan asma dalam kalangan remaja yang menggunakan peranti itu.

    Kesan lain yang dikaitkan termasuk radang paru-paru, bronkitis, jumlah sperma rendah, pening, sakit kepala dan migrain.

    Kajian juga mengesan kaitan antara penggunaan rokok elektronik dengan kemurungan serta pemikiran untuk membunuh diri dalam kalangan remaja.

    Dalam jurnal Tobacco Control, penulis menyatakan data yang tersedia ‘secara konsisten menunjukkan kaitan signifikan antara penggunaan rokok elektronik dan tabiat merokok kemudian hari dalam kalangan remaja.’

    Mereka mengakui sukar untuk membuktikan hubungan punca-akibat, tetapi ‘perkaitan kukuh yang berulang dalam kajian kohort prospektif adalah konsisten dengan kaitan sebab-akibat.’

    Profesor Madya sains kesihatan di Universiti York, Su Golder berkata konsistensi dalam bukti itu amat ketara.

    Penemuan itu menyokong langkah kesihatan awam yang lebih ketat untuk melindungi remaja daripada risiko berkaitan vape.

    “Kami menemui bukti konsisten tentang peralihan kepada merokok, yang tentunya membuka ruang kepada pelbagai mudarat akibat rokok konvensional.

    “Seperti yang ditegaskan ketua pegawai perubatan kerajaan United Kingdom (UK), pemasaran vape kepada kanak-kanak adalah tidak boleh diterima dan kajian kami menunjukkan mengapa sekatan lebih ketat terhadap industri tembakau yang mengawal pasaran rokok elektronik amat penting,” kata penolong profesor klinikal di LSHTM, Greg Hartwell.

    “Rokok elektronik memberi kesan buruk terhadap kesihatan belia di seluruh dunia, dan nampaknya menjadi pintu masuk kepada penggunaan bahan lain.”

    “Kajian kami menyediakan bukti paling kukuh setakat ini bahawa remaja di seluruh dunia berdepan rangkaian mudarat fizikal dan psikologi akibat penggunaannya, serta berisiko lebih tinggi untuk beralih kepada tabiat merokok,” kata penulis kanan kajian dan penolong profesor di LSHTM, Rebecca Glover.

    Pada Jun lalu, United Kingdom melaksanakan larangan terhadap vape pakai buang dalam usaha mengekang penggunaannya dalam kalangan remaja.

    Larangan itu menjadikan ia menyalahi undang-undang untuk dijual di mana-mana kedai, termasuk kedai runcit hingga pasar raya, termasuk jualan dalam talian, di seluruh England, Scotland, Wales, dan Ireland Utara.

    Larangan itu meliputi semua jenis vape pakai buang, sama ada mengandungi nikotin atau tidak, namun peruncit masih dibenarkan menjual vape boleh guna semula. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda