Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kajian: Telefon bimbit tidak dikaitkan dengan kanser otak

    CANBERRA, 4 SEPT – Telefon bimbit tidak dikaitkan dengan kanser otak, menurut satu kajian yang dijalankan oleh saintis Australia yang ditugaskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lapor Xinhua.

    Penyelidik dari Agensi Perlindungan Radiasi dan Keselamatan Nuklear Australia (ARPANSA) hari ini menerbitkan hasil kajian sistematik mengenai kesan kesihatan pendedahan gelombang radio daripada telefon bimbit.

    Kajian yang ditugaskan oleh WHO itu menganalisis lebih 5,000 kajian yang dijalankan antara 1994 dan 2022 mendapati kadar tumor otak kekal stabil meskipun terdapat peningkatan kadar penggunaan telefon bimbit dalam tempoh yang sama.

    “Apabila Agensi Penyelidikan Kanser Antarabangsa (IARC) mengklasifikasikan pendedahan gelombang radio sebagai kemungkinan karsinogen kepada manusia pada 2013, ia sebahagian besarnya berdasarkan bukti terhad daripada kajian pemerhatian manusia.

    “Tinjauan sistematik ini menggunakan set data yang jauh lebih besar berbanding yang diperiksa oleh IARC, termasuk kajian yang lebih terkini dan komprehensif. Oleh itu, kami lebih yakin bahawa pendedahan kepada gelombang radio daripada teknologi ini tidak berbahaya kepada kesihatan manusia,” kata Ken Karipidis dari ARPANSA yang mengetuai kajian itu, dalam satu kenyataan media.

    Kajian itu juga menyimpulkan bahawa tiada kaitan antara penggunaan telefon bimbit yang berpanjangan atau kekerapan penggunaannya dengan kanser. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda