HANOI, 24 OGOS – Vietnam merancang memindahkan lebih 300,000 penduduk dan membatalkan lebih belasan penerbangan domestik menjelang ketibaan Taufan Kajiki yang dijangka melanda pantai timur negara itu esok.
Pihak berkuasa berkata lebih 325,500 penduduk di lima wilayah pesisir akan ditempatkan di sekolah serta bangunan awam yang dijadikan pusat pemindahan sementara. Syarikat penerbangan Vietnam Airlines dan Vietjet turut mengumumkan pembatalan penerbangan.
Pusat Amaran Taufan Bersama (JTWC) melaporkan Kajiki bergerak perlahan di pesisir selatan China dengan kelajuan angin maksimum 167 kilometer sejam dan dijangka semakin kuat.
Menurut pihak berkuasa bencana di bawah Kementerian Pertanian dan Alam Sekitar, keadaan ketika ini ‘sangat berbahaya dan tidak selamat’ untuk sebarang kenderaan, termasuk bot pelancongan, kapal nelayan serta kemudahan akuakultur.
Jabatan Meteorologi China pula menjangkakan hujan lebat melanda wilayah Ha Tinh dan Nghe An esok dan Selasa, dengan angin kencang berpotensi menjejaskan bekalan elektrik, pengangkutan dan sektor lain.
Vietnam setakat ini telah berdepan lima ribut tropika pada tahun ini, dengan lebih 100 orang dilaporkan maut atau hilang akibat bencana alam sepanjang tujuh bulan pertama 2025. Kerugian ekonomi dianggarkan melebihi AS$21 juta. – AFP


