KOTA BAHARU – Rasa jeruk buah-buahan yang masam, masin dan manis pasti membuatkan peminatnya kecur air liur.
Proses membuat jeruk buah-buahan hampir sama namun bagi pengusaha di Kelantan, mereka mempunyai rahsia tersendiri menggunakan gula melaka atau dikenali gula ‘nise’ sebagai ramuan utama.
Seorang pengusaha, Rohani Hashim, 55, berkata jeruk hasil tangannya menggunakan buah-buahan segar, gula putih selain gula melaka sebagai bahan utama.
“Terdapat 12 jenis buah-buahan yang dijadikan jeruk antaranya asam jawa (celagi), sentul, belimbing buluh, jambu batu, kelubi, anggur, mangga, kedondong air, cermai, mata kucing dan rambutan.
“Saya memproses jeruk nise setiap hari. Saya mampu hasilkan 12 tong jeruk buah-buahan yang setiap satunya seberat 10 kilogram,” katanya ketika ditemui Bernama di premisnya di Kampung Cherang, di sini baru-baru ini.
Rohani atau mesra disapa Kak Ani berkata dia membelanjakan RM2,000 sehari untuk membeli bahan-bahan mentah bagi menghasilkan jeruk buah-buahan itu.
“Tidak mudah menghasilkan jeruk nise yang enak, tidak berbuih dan tidak masam.
“Setelah kulit buah dikupas dan dipotong, ia akan direndam dengan air garam untuk proses membuang rasa masam, manakala kuah jeruk dimasak dengan air gula, gula melaka dan diletakkan cili kisar,” katanya yang dibantu lapan orang pekerja untuk menghasilkan jeruk nise setiap hari.
Ibu kepada enam orang anak itu berkata jeruk nise buatannya itu dijual bermula serendah RM1, bergantung kepada jenis buah-buahan.
“Ada peminat jeruk buah-buahan nise yang sanggup membelanjakan ratusan ringgit setiap kali pembelian. Pernah ada pelanggan membelanjakan RM500 untuk satu pembelian.
“Ada juga rakyat Kelantan yang tinggal di China dan Mekah membawa jeruk nise ini untuk diperkenalkan kepada rakan-rakan mereka di sana,” katanya. – Bernama