Thursday, May 1, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kaka Azraff gesa selebriti terus lantang bersuara tentang Palestin

    Sebagai selebriti yang lantang bersuara mengenai isu Palestin, penyanyi Kaka Azraff tumpang gembira dengan gerakan Blockout2024 yang memboikot artis yang menyokong atau mempromosikan jenama ada kaitan dengan Zionis.

    Memetik laporan mStar, Kaka atau Nor Atiqa Noor Azraff, 35, berkata, beliau turut menyertai gerakan tersebut dengan menyekat beberapa selebriti luar negara kerana enggan pemikirannya diracuni mereka.

    “Saya anggap itu perkara baik tapi harap tiada yang terkesan atau terasa. Saya bukan nak menghentam sesiapa tapi langkah itu sesuatu yang positif dan saya pun mula sekat artis luar negara.

    “Saya tidak mahu mereka meracuni fikiran saya sebab kita sebenarnya sudah terlalu ke arah kebaratan. Semua nak ikut sana. Kita kena ada identiti dan pegangan sendiri,” katanya kepada mStar.

    Kaka berkongsi perkara itu ketika ditemui pemberita selepas tamat program The Hardest Singing Show yang berlangsung di Pusat Konvensyen CIDB Kuala Lumpur pada malam Ahad.

    Pun begitu, Kaka tidak mahu menghakimi mana-mana rakan selebriti tempatan yang masih lagi memilih untuk bekerjasama dengan jenama pro Israel.

    Menurut Kaka, mereka pastinya mempunyai sebab tersendiri namun mengajak mereka untuk sama-sama menunjukkan soladiriti terhadap Palestin.

    “Saya tak menghakimi mereka, itu pilihan masing-masing. Semua orang ada sebab tersendiri dan begitu juga saya. Mungkin mereka nak tanggung keluarga atau memerlukan wang.

    “Saya cuma harap mereka tak berhenti bersuara mengenai Palestin. Kita buat bukan sebab diri sendiri tetap agama dan saudara Islam kita di sana.

    “Memang susah nak lawan jerung besar tapi kita yang kecil ini pun boleh beri kesan juga. Kalau buat ramai-ramai pasti kesannya lebih besar,” ujarnya.

    Gerakan Blockout bermula di pertunjukan fesyen tahunan, Met Gala 2024 yang berlangsung di Muzium Seni Metropolitan New York pada 6 Mei lalu.

    Disebabkan gerakan tersebut, bintang realiti Kim Kardashian hilang tiga juta pengikut media sosialnya diikuti Blackpink, Taylor Swift dan Selena Gomez.

    Gerakan tersebut disambut baik oleh netizen Malaysia yang juga menyenaraikan beberapa nama artis yang dipercayai melakukan kerjasama dengan jenama pro Zionis.

    Antara selebriti Malaysia yang tersenarai adalah Siti Saleha, Nabila Razali, Nadhir Nasar, Daiyan Trisha, Neelofa, Awal Ashaari, Scha Alyahya dan ramai lagi.

    Rata-rata netizen mula menyahikut dan menyekat media sosial selebriti kegemaran mereka. – Agensi

    Kaka Azraff tumpang gembira melihat gerakan yang diadakan oleh netizen. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda