Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kaka Azraff minta boikot produk bukan selebriti tempatan

    Sebagai antara selebriti lantang bersuara mengenai isu Palestin, penyanyi Kaka Azraff meluahkan rasa kecewa apabila gerakan Blockout2024 menjadi perbalahan dalam kalangan rakyat Malaysia.

    Memetik laporan mStar, Kaka atau Nor Atiqa Noor Azraff, 35, berkata gerakan tersebut sepatutnya memfokuskan kepada selebriti dan jenama antarabangsa yang terang-terangan menunjukkan sokongan terhadap kekejaman Zionis dan bukannya artis tempatan.

    “Kalau blockout jenama dan selebriti luar negara itu saya setuju kerana mereka secara terang-terangan membantu ekonomi pihak Israel. Lagi pun mereka tidak bagus untuk mentaliti kita sendiri.

    “Tapi di sini ada yang menggunakan cara-cara kasar sehingga lari dari motif sebenar malah ada juga berbalah sedangkan kita sepatutnya bersatu.

    “Kalau kita berpecah belah macam mana nak tolong saudara di sana? Saya rasa kita sepatutnya fokus kepada jenama bukan selebriti,” katanya kepada mStar.

    Kaka berkongsi perkara itu ketika ditemui pada Malam Bersamamu Rafah 2024 yang diadakan di Glamhall Damansara pada malam Sabtu lalu.

    Menurut Kaka, dia juga kini lebih mengutamakan barangan buatan Malaysia sekali gus memboikot jenama-jenama ada kaitan dengan Israel.

    Kaka bagaimanapun menganggap ia bukan perkara mudah untuk dilakukan memandangkan segelintir barang keperluan anaknya dari negara luar.

    “Itu antara cabaran bila berkaitan dengan anak sebab barang mereka ini kebanyakkan yang kita biasa pakai dari luar negara.

    “Yang penting bermula dengan diri kita dulu… sebab kita tahu nak mengelak tapi anak-anak kita tidak tahu. Benda ini boleh buat secara berperingkat tidak perlu terus sekali gus,” ujarnya.

    Dalam pada itu, penyanyi yang terkenal dengan lagu Gila ini juga meluahkan rasa syukur apabila tidak lagi menerima kiriman dari mana-mana barang berjenama.

    “Sejak saya bersuara memang sudah tiada yang hantar barang berjenama secara percuma kepada saya. Alhamdulillah.

    “Tak payahlah saya rasa bersalah untuk muat naik barang mereka ke apa sebab kalau tak kongsi pemberian mereka rasa bersalah.

    “Tapi bila macam ini mereka juga faham, saya pun bersyukur kerana Allah mudahkan jalan,” jelasnya.

    Gerakan Blockout2024 diwujudkan bagi memboikot selebriti yang masih menjalinkan kerjasama dengan produk menyokong kekejaman Zionis di bumi Palestin.

    Kempen itu disambut baik oleh netizen Malaysia yang juga menyenaraikan beberapa nama artis dipercayai masih bekerjasama dengan jenama pro Israel.

    Susulan itu, ramai selebriti tempatan yang mula bersuara dan mempertahankan diri mereka termasuklah Nadhir Nasar, Mira Filzah, Scha Alyahya, Awal Ashaari dan Daiyan Trisha. – Agensi

    Kaka Azraff lantang bersuara mengenai isu Palestin. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda