MIAMI, 30 April – Bekas bintang Brazil, Kaka tidak mensia-siakan aksi kembalinya daripada kecederaan, dengan menjaringkan gol dalam masa kecederaan bagi memberikan kemenangan selesa 2-0 Orlando City ke atas Colorado Rapids dalam persaingan Major League Soccer (MLS).
Carlos Rivas dan Kaka keduanya memasuki persaingan itu dalam minit ke-60.
Rivas memecahkan kebuntuan pada minit ke-70 bagi jaringan pertamanya musin ini, satu rembatan menarik kaki kiri menewaskan penjaga gol Colorado, Zac MacMath.
Kaka menambah jaringan kedua Orlando seminit memasuki masa kecederaan apabila percubaan Cyle Larin melantun terkena gawang dan mendarat di kaki pemain Brazil itu.
Kaka telah diketepikan selama hampir dua bulan selepas kerana kecederaan hamstring.
“Saya tidak tahu hendak berkata apa mengenai perasaan saya, emosi sudah kembali, untuk menjaringkan gol dan memenangi satu lagi perlawanan di gelanggang sendiri,” kata Kaka, yang menerima sorakan kuat ketika dimasukkan.
“Ketika saya memasuki padang, kesemua penyokong bertepuk tangan dan memanggil nama saya, ia sungguh menakjubkan, jadi saya berterima kasih kepada semua orang berada di sini untuk menjadikan hari saya istimewa.”
Kaka mengakui bahawa ia sesuatu yang mengecewakan ketika diketepikan.
“Tetapi hari ini saya telah membuktikan bahawa saya sudah bersedia menyertai pasukan sekali lagi dan menjadi sebahagian daripada kumpulan yang hebat ini.” – AFP