Jungwoo NCT merupakan salah seorang dari anggota kumpulan lelaki NCT yang sangat disukai oleh peminat K-Pop.
Beliau sering kali bercerita tentang kakaknya dalam beberapa kesempatan. Namun, identiti kakaknya tidak pernah ditunjukkan, menyebabkan ahli kumpulan dan peminat tercari-cari. Akhirnya Sport Chosun mengungkap bahawa kakak Jungwoo adalah seorang pelakon bernama Kim Minah.
Kim Minah merupakan seorang wanita cantik yang telah membuat debut dan mengeluarkan single On Such a Good Day pada tahun 2015 dengan nama pentas Haru. Sebenarnya, selama ini beliau sengaja tidak mendedahkan bahawa dirinya adalah kakak kepada Jungwoo kerana tidak mahu mengganggu populariti adiknya.
Beberapa gambar dan video Kim Minah kini menjadi topik perbualan peminat K-Pop kerana visualnya yang sangat mirip dengan Jungwoo. Kedua-duanya mempunyai daya tarikan yang memikat.
Menurut laporan dari Koreaboo, Kim Minah menyertai agensi Woori Actors pada tahun 2021 untuk menumpukan perhatian pada kerjaya sebagai pelakon. Beliau juga beberapa kali muncul dalam pelbagai rancangan televisyen Korea, seperti Love Naggers 3. Selain itu, Kim Minah turut muncul dalam drama Korea My Name di Netflix, yang dibintangi oleh Han So Hee. Baru-baru ini, beliau juga muncul dalam satu episod I Can See Your Voice Season 10 milik Mnet.

Setelah berita ini diumumkan, agensi Woori Actors dan SM Entertainment telah mengesahkan maklumat tersebut.
Seorang pegawai dari Woori Actors memberikan kenyataan pengesahan dan maklumat mengenai Kim Minah.
Selaku agensi Jungwoo, SM Entertainment juga mengesahkan hal yang sama, “Kami mengesahkan bahawa Kim Min Ah adalah kakak kepada Jungwoo NCT,” tulis seorang wakil agensi itu.
Setelah mendengar pengesahan dari kedua-dua agensi, peminat yang sebelumnya ragu tentang berita itu kini yakin dan turut gembira. Mereka akhirnya tidak lagi tertanya-tanya tentang kakak perempuan yang sering disebut oleh Jungwoo.
Mereka juga menulis pelbagai pujian di media sosial mengenai Kim Minah dan Jungwoo. – Agensi