Thursday, February 13, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Kakak jurulatih’ impi latih pasukan antarabangsa

    GADAREF – Di Sudan, di mana sebuah pasukan kebangsaan wanita hanya satu impian yang sukar direalisasikan, Salma al-Majidi sedar bahawa satu-satunya cara dia mengambil bahagian dalam sukan yang sangat diminatinya itu adalah dengan menjadi jurulatih, dan para pemain seharusnya lelaki.

    Salma, 27, diiktiraf oleh FIFA sebagai wanita Arab dan Sudan pertama untuk melatih sebuah pasukan bola sepak lelaki di dunia Arab, sebagai perintis dalam sukan yang mendominasi rantau itu.

    “Kenapa bola sepak? Kerana ia adalah cinta pertama dan terkuat saya,” kata Salma, memakai pakaian sukan dan tudung hitam, ketika dia mengetuai kelan Al-Ahly Al-Gadaref dalam satu sesi latihan di bandar Gadaref, timur Khartoum.

    “Saya menjadi seorang jurulatih kerana masih belum ada skop bagi bola sepak wanita di Sudan,” kata Salma, yang dipanggil ‘kakak jurulatih’ oleh pasukannya.

    Anak perempuan kepada seorang pesara polis, Salma baru berusia 16 tahun semasa dia jatuh cinta pada bola sepak.

    Salma bergambar bersama para pemain kelab Al-Ahly Ah-Gadaref selepas sesi latihan di bandar Gadaref. – AFP
    Kelihatan bercakap dengan salah seorang pemainnya semasa sesi latihan. – AFP

    Ia hadir ketika dia menyaksikan pasukan sekolah adiknya dilatih. Dia teruja dengan arahan-arahan yang diberikan oleh jurulatih, pergerakannya dan bagaimana dia menempatkan kon-kon semasa sesi latihan.

    “Di akhir setiap sesi latihan, saya berbincang dengannya mengenai teknik-teknik yang digunakan untuk melatih lelaki,” kata Salma kepada AFP, sambil menyaksikan para pemainnya sendiri berlatih di bawah terik matahari.

    “Dia melihat saya mempunyai semangat untuk kejurulatihan dan memberikan saya peluang untuk bekerjasama dengannya.”

    Tidak lama selepas itu, Salma mula melatih pasukan bawah-13 dan bawah-16 tahun bagi kelab Al-Hilal di Omdurman, bandar kembar Khartoum di barat Sungai Nil.

    Pemain wanita yang terhad

    Persoalan seperti sama ada dia memahami bola sepak atau mempunyai kemahiran untuk melatih pasukan lelaki semakin hilang, menurut Salma, bercakap dengan sopan tetapi tegas.

    Disenaraikan dalam senarai BBC 2015 ‘100 wanita inspirasi’, Salma telah melatih kelab-kelab divisyen kedua Sudan seperti Al-Nasr, Al-Nahda, Nile Halfa dan Al-Mourada.

    Nile Halfa dan Al-Nahda malah pernah mengungguli liga di bawah kendaliannya. Dia ketika ini memegang lencana ‘B’ dalam kejurulatihan, bermakna dia berkelayakan melatih mana-mana pasukan liga pertama di seluruh benua itu.

    Wanita lain yang mempunyai pengiktirafan seperti itu dalam dunia bola sepak Sudan adalah Mounira Ramadan, yang menjadi pengadil bagi perlawanan-perlawanan bola sepak lelaki pada tahun 1970-an.

    Sudan telah menyertai FIFA pada tahun 1948 dan menubuhkan Persekutuan Bola Sepak Afrika (CAF) seiring dengan Mesir, Habsyah dan Afrika Selatan. Ia telah memenangi trofi CAF pada tahun 1970.

    Bola sepak wanita telah berdepan dengan tugasan sukar sejak negara itu melaksanakan undang-undang syariah Islam pada tahun 1983, enam tahun selepas Presiden Omar al-Bashir mendapat kuasa.

    Tidak ada undang-undang yang mengharamkan bola sepak wanita di Sudan, tetapi masyarakat konservatif digabung lagi dengan kerajaan yang cenderung pada Islam telah menghalang keinginan itu.

    Wanita juga bermain bola sepak tetapi tidak ada kejohanan atau kelab wanita, dan mereka tidak bermain di tempat awam.

    Para pemain Al-Ahly Al-Gadaref mengambil bahagian dalam sesi latihan yang dikendalikan oleh Salma. – AFP
    Salma ketika ini memegang lencana ‘B’ dalam kejurulatihan, bermakna dia berkelayakan melatih mana-mana pasukan liga pertama di seluruh benua itu. – AFP

    “Terdapat kekangan pada bola sepak wanita, tetapi saya berazam untuk berjaya,” kata Salma, yang mana impiannya adalah melatih pasukan antarabangsa.

    ‘Tidak mendengar kata’

    Perjalanan Salma tidak mudah.

    “Sudan mempunyai beberapa puak dan sebahagian puak percaya bahawa peranan wanita adalah berada di rumah,” kata Salma, seorang graduan universiti dalam akaun dan pengurusan.

    “Terdapat seorang lelaki ini enggan mendengarnya. Dia memberitahu saya bahawa dia berasal daripada sebuah puak yang percaya bahawa lelaki tidak boleh menerima arahan daripada wanita,” katanya.

    Ia memerlukan beberapa bulan untuknya menerima Salma sebagai jurulatih.

    “Hari ini, dia seorang pemain yang bagus,” kata Salma, yang bekerjasama sepenuh masa dan menerima gaji yang setanding dengan seorang jurulatih lelaki.

    Pada mulanya, “orang ramai di jalanan memanggil kami ‘anak-anak Salma!’,” kata Majid Ahmed, seorang penyerang dan penyokong tegar penyerang Barcelona, Lionel Messi.

    “Di sekolah kami mempunyai guru wanita, jadi apa masalahnya mempuyai jurulatih wanita?

    “Pesanan saya kepada para lelaki adalah untuk memberikan peluang kepada wanita untuk melakukan apa yang mereka minati,” katanya sambil menyediakan teh selepas sesi latihan yang meletihkan.

    ‘Dia berbeza’

    Berasal dari sebuah keluarga tradisi, ia adalah satu cabaran bagi Salma untuk membuktikan dirinya kepada saudara maranya, menurut bapa Salma, Mohamed al-Majidi.

    “Kemudian satu hari, bapa saudaranya yang sebelum ini pernah mengkritiknya terlihat orang ramai berteriak ‘Salma! Salma!’ dalam satu perlawanan,” katanya kepada AFP di sebuah rumah Omdurman.

    “Saudara mara yang sama kini berdoa kepada Allah untuk menyokongnya.”

    Dari awal, ibu Salma tahu anak perempuannya berbeza.

    “Dia lebih suka memakai seluar dan bahkan ketika menyeberang jalan, dia akan melihat lelaki-lelaki bermain bola sepak,” kata Aisha al-Sharif. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda