SYDNEY, 24 NOV – Pasukan penyelamat terpaksa memotong kaki seorang pelancong asing selepas dia terperangkap di celah batu di sebatang sungai berbahaya di Tasmania, Australia, menurut kenyataan pihak polis.
Mangsa, seorang lelaki berusia 60an, sedang mendayung kayak bersama sekumpulan rakan di jeram Sungai Franklin pada Jumaat apabila kakinya tersepit di celah batu.
Jam pintar mangsa mengaktifkan isyarat kecemasan, mencetuskan operasi menyelamat yang rumit dan berlarutan selama 20 jam. Namun, usaha untuk melepaskan kakinya gagal.
Dalam keadaan mangsa masih separuh tenggelam dalam air sejuk dan kesihatannya semakin merosot, pasukan penyelamat mengambil keputusan untuk memotong kakinya kelmarin selepas memberinya ubat pelali.
“Operasi ini sangat mencabar dan memerlukan kepakaran teknikal, melibatkan usaha luar biasa selama berjam-jam untuk menyelamatkan nyawa mangsa,” kata jurucakap polis, Doug Oosterloo.
“Segala usaha telah dilakukan untuk menyelamatkan mangsa sebelum keputusan sukar diambil untuk melakukan pemotongan kaki.”
Mangsa kemudian diterbangkan ke Hospital Royal Hobart dan kini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal. – AFP