SERIAN, 29 Jun – Seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun terpaksa menahan kesakitan selepas kaki kirinya tercucuk serampang ikan dalam kejadian di Kampung Koran Empaneg, dekat sini, petang tadi.
Mangsa Jude Dunstion Ken kemudiannya dibawa ke Hospital Serian untuk mendapatkan rawatan sebelum anggota bomba dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.
Menurut jurucakap bomba, sepasukan lima anggota diketuai seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Serian digerakkan ke hospital untuk membantu mangsa.
“Anggota bomba tiba di hospital tersebut kira-kira 4:41 petang dan mengambil masa 17 minit (operasi tamat 4:58 petang) untuk memotong serampang ikan itu menggunakan alat pemotong khas Bolt sebelum mangsa diserah kepada pihak hospital untuk rawatan seterusnya,” katanya dalam kenyataan di sini. – Bernama