Wednesday, September 18, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kaki robot dengan otot buatan pertama dicipta

    PARIS, 12 SEPT – Penyelidik berkata Isnin lalu mereka telah mencipta kaki robot pertama dengan otot buatan terdiri daripada beg berisi minyak yang membolehkannya bergerak seperti manusia termasuk melompat dengan lincah merentasi pelbagai permukaan.

    Kaki robot kecil tanpa badan itu ditunjukkan melompat di atas rumput, pasir dan batu dalam video yang disiarkan bersama kajian baharu dalam Nature Communications.

    Para penyelidik berharap teknologi itu boleh digunakan pada masa hadapan untuk mencipta robot menyerupai manusia bagi membantu membuat kerja di rumah, kata Profesor Robotik di Universiti ETH Zurich, Switzerland, Robert Katzschmann selaku pengarang bersama kajian, kepada AFP.

    Beliau menambah, “Robot konvensional itu dibina dengan motor dan sambungan logam tegar serupa dengan yang digunakan di kilang pemasangan pembinaan.

    “Selain harganya yang sangat mahal, robot besar seperti itu boleh menjadi berbahaya jika ia memasuki rumah orang.

    Gambar Envato

    “Jika ia jatuh pada seseorang akan memberikan kesan yang menyakitkan.

    “Pembantu robot masa depan perlu mampu bukan sahaja membawa barang berat tetapi juga memberikan seseorang pelukan atau bersalaman,” ujarnya.

    Pasukan penyelidik yang diketuai Switzerland itu telah menerima inspirasi daripada 600 otot dalam tubuh manusia untuk mencipta sesuatu yang boleh berjalan dan melompat dengan lebih lincah.

    Untuk melakukannya, mereka menggunakan otot buatan, juga dikenali sebagai penggerak elektrohidraulik.

    Penggerak tersebut yang menyerupai beg penyejuk beku, diisi dengan minyak dan mempunyai elektrod yang dipasang.

    Cara cecair mengecut dan mengembang membolehkan teknologi itu meniru otot manusia.

    Ia mampu melompat hampir 13 sentimeter iaitu 40 peratus daripada ketinggiannya, kata kajian itu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda