Oleh Daniel Lim
BELAIT, 13 OKT – Sebagai sebahagian daripada inisiatif berterusan Syarikat Methanol Brunei Sdn Bhd (BMC) untuk menerapkan falsafah Melayu Islam Beraja dalam kalangan pekerjanya, Taklimat Adat Istiadat telah diadakan di Teater Mini, Pusat SPARK, Sungai Liang, pagi tadi.
Hadir pada taklimat tersebut ialah Penolong Ketua Pegawai Eksekutif BMC, Awang Abdul Mu’izz bin Dato Paduka Haji Alikhan. Turut hadir warga Jabatan Adat Istiadat Negara yang dipimpin Pegawai Adat Istiadat, Awang Mohammad Zaizul bin Haji Daud serta pegawai dan kakitangan BMC.
Semasa ceramah, Awang Mohammad Zaizul mengongsikan sejarah serta pelbagai protokol adat istiadat negara yang harus dipatuhi, terutamanya semasa majlis keramaian dan acara negara.
Ceramah bertujuan mendedahkan para peserta kepada peraturan protokol, bahasa terasul yang sesuai apabila menyapa kerabat diraja serta individu yang mempunyai gelaran, selain membantu memperdalam pengetahuan mengenai keunikan Adat Istiadat Brunei.
Sesi berakhir dengan penyampaian cenderahati kepada Awang Mohammad Zaizul oleh Awang Abdul Mu’izz.
