TOKYO, 2 MEI – Istana Diraja Jepun kelmarin telah memaklumkan seorang kakitangannya telah dipecat kerana mencuri wang tunai berjumlah 3.6 juta yen (AS$24,900) daripada Maharaja Naruhito dan keluarganya sepanjang tempoh lebih setahun.
Agensi Kerabat Diraja mengenal pasti suspek sebagai seorang pekerja dalam lingkungan usia 20an, yang merupakan antara kira-kira 80 orang pembantu ditugaskan di istana atau bangunan agensi bagi memenuhi keperluan harian Maharaja Naruhito dan keluarganya.
Kes ini mencemarkan nama baik institusi diraja dan menurut pegawai, kejadian seperti ini tidak pernah berlaku dalam sejarah moden.
Kes itu mula terbongkar pada Mac lalu semasa siasatan dalaman oleh IHA yang dimulakan pada Januari, selepas seorang penolong pengurus jabatan tersebut mengesan perbezaan antara jumlah wang dalam peti besi dengan rekod perakaunan.
Apabila seorang pegawai agensi mengesan kehilangan sebanyak 30,000 yen (AS$207) pada penghujung Mac, suspek yang baru selesai bertugas semalaman telah ditanya dan mengaku mencuri wang berkenaan atas alasan kesempitan kewangan, kata agensi itu.
Secara keseluruhan, suspek telah membuat pengakuan mencuri wang sejumlah 3.6 juta yen dalam beberapa kejadian dari November 2023 hingga akhir Mac tahun ini dan telah memulangkan wang tersebut selewat-lewatnya pertengahan April.
Wang itu merupakan sebahagian daripada peruntukan tahunan sebanyak 324 juta yen (AS$2.24 juta) yang disediakan sebagai perbelanjaan sara hidup untuk Maharaja, isterinya Maharani Masako, anak perempuan mereka Puteri Aiko serta ibu bapa Naruhito, Maharaja Emeritus Akihito dan Maharani Michiko.
IHA menyatakan mereka telah membuat aduan jenayah kepada polis istana dan secara rasmi memecat pekerja tersebut.
Penolong pengurus dalam lingkungan usia 40an mula-mula menyedari penyelewengan wang tunai itu pada Januari dan beliau turut dikenakan pemotongan gaji selama sebulan disebabkan kelemahan dalam pengurusan perakaunan.
Menurut laporan televisyen awam NHK, ketua IHA, Yasuhiko Nishimura, menyifatkan perbuatan mencuri oleh seorang penjawat awam yang bertugas untuk kerabat diraja sebagai sesuatu yang ‘tidak dapat diterima’ dan ‘amat dikesali’ serta memohon maaf kepada maharaja dan juga kerabatnya.
Beliau juga berikrar untuk memperketatkan lagi disiplin dalam kalangan kakitangan istana, menurut laporan media. – AFP
