Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Okt – Lebih 10 orang kakitangan Syarikat Makan Ceria Sdn Bhd dan McDonald’s Brunei, baru-baru ini, telah menyertai sesi pembangunan pasukan anjuran Jabatan Belia dan Sukan yang berlangsung di Perkampungan Sukan, Berakas.
Sepanjang sesi tersebut, para peserta didedahkan dan ditunjuk ajar cara-cara untuk menggunakan ikatan asas yang akhirnya digunakan sebagai tali untuk aktiviti abseiling dan rock climbing.
Kegiatan membangunkan semangat berpasukan itu bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara kakitangan syarikat berkenaan di samping memberikan motivasi dalam sama-sama menghadapi cabaran-cabaran.
Penolong Sumber-sumber Manusia Makan Ceria Sdn Bhd, Dayang Siti Nurul Azizah binti Ibrahim, semasa ditemui menyatakan, aktiviti tersebut sememangnya amat mencabar tetapi sepanjang aktiviti itu, rata-rata peserta bersikap begitu positif dan memberikan sokongan berterusan yang membantu beliau untuk meneruskan aktiviti tersebut sehingga tamat.
Aktiviti ini juga, jelasnya, secara langsung turut membantu belia untuk bersikap tidak berputus asa dan sentiasa sabar dan tekun dalam menempuhi pelbagai rintangan dan cabaran dalam kehidupan seharian mahupun dalam waktu bekerja ataupun tidak.