NAIROBI, 11 JUN – Seorang pekerja Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah antara yang terbunuh dalam pengepungan hujung minggu di sebuah hotel tepi pantai di ibu negara Somalia, Mogadishu, kata ketua agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini.
Pengepungan itu menyebabkan enam orang awam maut dan 10 lagi cedera, menurut polis.
“Saya sedih kerana kami kehilangan seorang kakitangan WHO dalam serangan baru-baru ini di #Mogadishu, #Somalia,” tulis Tedros Adhanom Ghebreyesus, ketua pengarah WHO dalam twitter hari ini.
“Takziah kepada keluarga mereka dan semua orang yang kehilangan orang tersayang,” katanya. “Kami mengutuk semua serangan ke atas orang awam dan pekerja kemanusiaan,” ujarnya.
Al-Shabaab yang dikaitkan dengan Al-Qaeda telah melancarkan pemberontakan terhadap kerajaan persekutuan yang disokong antarabangsa di Somalia selama lebih daripada 15 tahun dan sering menyasarkan hotel, yang cenderung menjadi tuan rumah pegawai tinggi Somalia dan asing.
Serangan terbaru, yang mana Al-Shabaab mengaku bertanggungjawab, bermula sejurus sebelum 8 malam pada Jumaat lalu apabila tujuh penyerang menyerbu hotel Pearl Beach, tempat popular di pantai Lido di sepanjang pantai Mogadishu.
Ia berakhir kira-kira jam 2 pagi, kata polis, selepas pertempuran sengit antara pasukan keselamatan dan militan, yang kesemuanya terbunuh semasa pertempuran itu.
Serangan di pantai Lido menggariskan masalah keselamatan endemik di negara Tanduk Afrika ketika ia bergelut untuk bangkit daripada konflik dan bencana alam yang berdekad-dekad. – AFP


