Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kaktus mini sesuai hiasi kediaman

    MENETAP di apartmen atau kondominium sedikit pun tidak menghalang kita untuk menampilkan suasana segar berasaskan tumbuhan.

    Sesetengah daripada kita menghiasi ruang dalam kediaman dengan beberapa jenis tumbuhan renek, namun kesibukan tugas membuatkan kita terlepas pandang hingga tumbuhan hidup renek itu akhirnya mati kerana kurang penjagaan.

    Lalu muncul alternatif baru berkenaan satu jenis tumbuhan yang mudah dijaga dan kini semakin menjadi pilihan warga kita untuk meletakkanya di sudut hiasan di dalam rumah.

    Jenis tanaman hiasan kali ini mempunyai ciri-ciri khas termasuk duri yang tajam pada setiap batangnya. Apalagi kalau bukan kaktus. Tapi ia bukanlah kaktus yang besar meninggi seperti yang selalu anda lihat di dalam filem koboi, sebaliknya hanya kaktus mini.

    Kaktus mini selalunya bersaiz kecil ditanam di dalam pasu kecil dengan pelbagai warna dan bentuk yang comel serta menarik.

    Penjagaan kaktus mini adalah sangat mudah memandangkan ia mampu bertahan walaupun kekurangan air dan dalam keadaan cuaca panas.
    Penjagaan kaktus mini adalah sangat mudah memandangkan ia mampu bertahan walaupun kekurangan air dan dalam keadaan cuaca panas.

    Tanaman ini juga sangat diminati kerana mudah dijaga. Ia antara tanaman gurun pasir yang sangat tahan lasak meskipun dalam kondisi kekurangan air atau cuaca panas atau penjagaan yang tidak menentu.

    Nama kaktus berasal dari perkataan Yunani yakni ‘kaktos,’ yang membawa maksud tanaman berduri.

    Pada umumnya, tanaman kaktus berasal dan tersebar di daerah tandus seperti Amerika Selatan dan Mexico.

    Kini trend menanam kaktus mini menular hingga ke Asia dan menghiasi sebahagian kediaman.

    Kaktus mini begitu sesuai diletakkan di atas para dalam keadaan ‘berbaris’ sedondon atau pelbagai saiz.

    Ia juga sesuai menghiasi sudut hiasan yang kecil bagi menghasilkan sentuhan ringkas, tapi nampak menarik.

    Kaktus mini sebenarnya kurang sesuai diletakkan pada ruang hiasan yang besar, luas dan terbuka kerana saiznya yang kecil kurang daya mampu menarik perhatian.

    Namun bagi anda yang mempunyai anak kecil, seeloknya kaktus mini diletakkan pada bahagian yang sedikit tinggi supaya tidak mudah dicapai.

    Ada kalanya duri-duri halus pada kaktus mini itu boleh mencederakan anak atau memberi alahan kepada si kecil.

    Cuba hiasi ruang kecil anda dengan kaktus mini dan rasakan perbezaannya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda