WALAUPUN seringkali kurang dipilih sebagai tanaman hiasan utama, namun tidak bermakna kaktus terus diabaikan oleh peminat dunia landskap.
Kaktus merupakan sejenis pokok daripada keluarga Cactaceae yang berasal dari benua Amerika.
Namun, kaktus yang tumbuh di negara ini jarang mengeluarkan bunga disebabkan oleh faktor cuaca.
Perkembangan ilmu dan idea dari pelbagai sumber rujukan membuatkan tanaman hiasan ini makin mendapat perhatian sejak kebelakangan ini.
Ia selari dengan perlambangan landskap yang sinonim dengan maksud usaha memelihara alam sekitar dan keindahannya agar dapat hidup lebih selesa serta harmoni.

Tidak kira sama ada taman bersaiz besar atau sebaliknya, kehadiran kaktus mampu menambah variasi dan karakter di ruang itu.
Bagi laman yang berkeluasan terhad, idea mencipta taman mini kaktus yang biasanya dihasilkan sendiri mengikut kreativiti anda.
Sekali gus, ia dapat memanfaatkan bajet kerana dalam satu bekas atau pasu sahaja idea menarik dapat dikreatifkan.
Dapatkan pelbagai jenis kaktus mini supaya gaya hiasan benar-benar menarik perhatian.
Nampak ringkas dan mudah dihasilkan, tetapi anda perlu peka dan tidak mengabaikan tumbuhan ini sebaik ia ditanam.
Elakkan daripada kelembapan pada pokok kaktus kerana ini boleh merosakkan tanaman berkenaan.
Jika diletakkan pada ruang dalaman, sesekali taman kaktus mini perlu didedahkan kepada matahari.
‘Menjemur’ kaktus di bawah terik matahari juga bukan merupakan langkah bijak kerana kebanyakan ramai individu yang salah faham bahawa pokok kaktus tahan dengan pancaran matahari, tetapi hakikatnya tidak semua tanaman itu tahan terhadap panahan cahaya terik.
Kesannya kaktus didapati terbakar di hujungnya yang menjadikan ia berubah warna menjadi coklat dan kehitaman.
Kaktus juga tidak boleh disiram setiap hari kerana boleh menyebabkan pokok itu lembap.
Sebaiknya siram kaktus dua kali seminggu dengan menggunakan semburan air.
Idea penciptaan taman mini kaktus
Anda perlu menyediakan tanah kompos, sabut halus atau tanah berpasir, pasu plastik atau mengikut pilihan. Pilih enam atau tujuh kaktus mini yang biasanya dijual dalam pasu kecil. Batu hiasan, kerikil dan ‘pebble wash’ serta beberapa helai surat khabar.
Dasar pasu perlu ditutup dengan batu kerikil supaya sistem pengaliran sempurna dan air tidak bertakung sebaik kaktus disiram. Masukkan tanah mengikut kesesuaian pasu supaya kaktus tampil menarik dan tidak tenggelam.
Sekiranya tidak menggunakan sarung tangan untuk menanggalkan kaktus mini dari pasu asal, gunakan kertas surat khabar yang dilipat mengikut saiz tanaman itu.
Letakkan kaktus paling besar di tengah pasu. Gunakan pasu asal untuk membentuk ruang sesuai sebelum kaktus ditanam.
Apabila selesai kaktus paling besar, ia diikuti kaktus mini atau kecil kemudian beberapa batu hiasan sederhana besar yang disusun mengikut kreativiti.
Tabur ‘pebble wash’ dengan menggunakan sudu terbuang pada ruang kosong bersebelahan kaktus dan batu hiasan sederhana besar, selain batu hiasan kecil sebagai tarikan.