KHAZIR, Iraq – Mereka terselamat dari pertempuran di kampung halaman mereka namun pelarian Mosul kini menghadapi ancaman daripada ular dan kala jengking dalam jumlah yang banyak di perkhemahan yang mereka duduki.
Di khemah Khazir, salah satu perkhemahan terbesar bagi penduduk awam yang dipindahkan atas sebab pertempuran menentang kumpulan Islamic State (IS) di Mosul. Musim panas di Iraq kini kembali dan reptilia dan serangga di sana yang semakin membiak dan bertambah.
Sekitar 32,000 orang melarikan diri dari kezaliman kumpulan berani mati itu yang tinggal di sekitar lautan 7,000 buah khemah. Peningkatan kes-kes sengatan kalajengking dan gigitan ular baru-baru ini telah menyebarkan kepada gangguan mental dan paranoia.
Luai Mohammed Yusef menggunakan peti plastik (plastic crate) dan beberapa tali untuk membina buaian bagi anak perempuannya yang berusia enam minggu dan menggantungnya di tengah-tengah khemahnya untuk menjauhinya daripada binatang yang merayap dan makhluk-makhluk lain di teluk itu.
“Saya tidak dapat menyediakannya dengan katil yang sebenar kerana saya tidak mampu, jadi saya menghasilkan ini,” kata Luai yang tiba di Khazir bersama isterinya dan anak damitnya yang baru lahir sebulan sebelum itu.





“Dia (anak damit Luai) berhenti menangis ketika saya meletakkannya di dalamnya untuk tidur,” kata Luai berusia 22 tahun itu.
Menurut kerajaan Iraq, lebih dari 800,000 orang telah dipaksa keluar dari rumah mereka sejak serangan besar-besaran yang dilancarkan pada Oktober 2016 untuk menghalau kumpulan IS dari Mosul, sebuah bandar yang ditakluk oleh kumpulan berani mati itu tiga tahun yang lalu.
Kebanyakan daripada mereka ini terpaksa berpindah sejak operasi di bahagian barat Bandar Raya itu yang bermula pada 19 Februari. Anak perempuan Luai, Siham, tidur dengan tenangnya di atas katil sementaranya itu, yang tergantung dari bingkai khemah tersebut.
“Pada awalnya, dia tidur di atas lantai, tetapi pada suatu hari saya terkejut apabila saya melihat beberapa jenis lipan merangkak ke arahnya,” katanya.
“Saya merasa panik ketika itu kerana ia boleh digigit oleh reptilia tersebut.”
Rasa panik dan cemas itu bermula di perkhemahan tersebut baru-baru ini apabila suhu di sana meningkat naik, yang kini sudah mencecah 110 darjah Fahrenheit (43 darjah Celsius). Khemah-khemah itu adalah sebuah tempat perlindungan warga Iraq dari musim sejuk yang membeku pada beberapa bulan yang lalu, yang mana kini semakin panas seperti ketuhar. Musim panas yang gersang ini telah membawa kepada pembiakan ular, kalajengking dan lain-lain spesies reptilia yang tidak diinginkan.
Mohammad Akram, seorang pakar pediatrik yang bekerja di sebuah klinik yang dikendalikan oleh badan amal Perubatan Antarabangsa di dalam kem Khazir, mengatakan bahawa beliau telah melihat suatu peningkatan dalam jumlah gigitan dan sengatan yang dihadapi oleh kanak-kanak yang diperiksanya.
Nawar Hussein, seorang lagi penduduk kampung berusia 22 tahun, berkata dia tidak dapat tidur pada waktu malam kerana dia bimbang anak perempuannya yang berusia enam bulan, yang tidur di atas lantai itu mungkin sahaja digigit oleh pemangsa itu.
“Anak perempuan saya juga menderita akibat panas terik ini dan sejak tidak adanya elektrik, alat penyejuk udara yang disediakan oleh pentadbiran kem sama sekali tidak berguna,” katanya.
Akram, yang merawat berpuluh-puluh kanak-kanak setiap hari, berkata haba yang melampau ini menyebabkan amalan kebersihan merosot di dalam kem tersebut dan menyebabkan adanya kes-kes kudis dilaporkan.
“Kami mempunyai beratus-ratus kes penyakit ini. Kami telah menyediakan penjagaan dan nasihat khusus kerana ianya boleh menular,” katanya.
Penyakit kudis adalah serangan kulit yang disebabkan oleh hama parasit yang mudah tersebar di kawasan-kawasan yang penuh sesak dan yang mempunyai akses air yang terhad. Dastan Mansur, seorang pegawai di perkhemahan Khazir, berkata kempen kesedaran telah dianjurkan untuk mengekang penyebaran penyakit tersebut. – AFP