RIO DE JANEIRO – Kala jengking kini menjadi ancaman lebih besar berbanding ular di Brazil berikutan peningkatan populasi haiwan berbisa itu, didorong oleh pembandaran dan pemanasan suhu.
Spesies kala jengking kuning Brazil yang banyak ditemui di negara berkenaan adalah yang paling berbisa di Amerika Selatan, malah spesies ini membiak secara aseksual, mengakibatkan untuk mengawal populasinya lebih sukar.
“Dengan suhu habitat yang semakin panas, metabolisme haiwan itu turut meningkat. Ia jadi lebih aktif, makan lebih banyak dan membiak dengan cepat,” kata Thiago Chiariello, penyelaras pengeluaran serum bisa kala jengking di Instituto Butantan, Sao Paulo.
Faktor pembandaran juga menyumbang kepada lonjakan jumlah kala jengking kerana pembandaran menyebabkan haiwan pemangsa semula jadi seperti cicak dan burung lari, malah memberikannya lebih banyak makanan seperti lipas.
“Pertumbuhan bandar yang pesat dan penyebaran sampah yang dilakukan oleh manusia bermakna lebih banyak makanan untuk kala jengking.
“Ini membawa kepada lebih banyak kontak dengan manusia, sekali gus menyebabkan lebih banyak kejadian yang tidak diingini.”
Data Kementerian Kesihatan Brazil menunjukkan sebanyak 200,000 kes sengatan kala jengking direkodkan tahun lalu dengan 152 kematian, melebihi kematian akibat dipatuk ular.
Bagi orang dewasa yang sihat, sengatan kala jengking kuning boleh menyebabkan gejala ringan seperti rasa sakit, muntah dan kuat berpeluh dan berketar-ketar.
Namun, gejala lebih serius seperti kejutan, cecair di paru-paru dan kegagalan jantung boleh mengancam nyawa, terutama bagi kanak-kanak dan warga emas.
Instituto Butantan mengeluarkan serum bisa sebagai langkah menyelamatkan nyawa.
Bisa dikumpulkan daripada kala jengking hidup sebelum disuntik ke atas kuda untuk menghasilkan antibodi dan seterusnya diproses menjadi serum yang boleh digunakan untuk rawatan.
Tahun lalu, lebih 11,000 penduduk Brazil menerima serum bisa, dengan permintaan yang dijangka meningkat seiring dengan ancaman yang semakin serius daripada kala jengking.
“Jika berlaku kekurangan serum, pasti akan ada peningkatan dalam jumlah kematian,” tambah Paulo Goldoni, ahli biologi di Instituto Butantan. – AFP