Hujan dan cuaca panas menjadi teman setia, ombak dan angin menjadi hiburan, jiwa disinari semangat dan kesabaran, begitulah perjalanan hidup saban hari.
Dari pagi hingga ke senja, insan yang tidak asing lagi di Daerah Tutong, Haji Bidin bin Haji Mohd Salim, pembintur ketam yang berasal dari Kampung Penabai, Tutong ini menggenggam sebuah harapan yang menggunung tinggi ketika menyelusuri perairan demi meraih sumber rezeki Illahi.
Begitulah kesungguhan yang jelas terpancar pada raut wajah Haji Bidin semasa ditemui penulis dan rakan Media Permata di kawasan tebing perairan Sungai Tutong, baru-baru ini.
“Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Begitulah kita sebagai hamba Allah dalam meniti kehidupan sehari-hari yang dituntut untuk mencari dan berusaha serta menerokai rahsia di sebalik khazanah bumi yang kita pijak ini.
Salah satunya kemakmuran sumber perairan, yang pastinya menjanjikan potensi pendapatan yang sangat lumayan,” itulah antara kata-kata yang terucap dari pengusaha ketam berusia 69 tahun ketika berkongsi pengalaman dalam meniti liku-liku kehidupan demi meningkatkan perekonomian diri serta keluarga tersayang sehingga detik ini.


Ilmu membintur warisan ayahanda
Apabila mengimbau kembali kenangan silam pada tahun 60an, pengusaha ketam yang memiliki jiwa penuh kekentalan ini menyatakan bahawa menceburi dunia kehidupan sebagai nelayan ini sememangnya sukar dipisahkan dalam jiwa bahkan semakin sebati dalam diri dari hari ke hari sejak di bangku sekolah lagi.
“Kemahiran membintur ketam ini termasuklah proses membuat bintur menggunakan bahan daripada buluh yang telah pun diajarkan oleh ayah suatu ketika dahulu. Inilah aktiviti kami turun-temurun dalam sama-sama mencari rezeki untuk keluarga tersayang suatu ketika dahulu,” ujarnya ketika mengimbas kenangan manis mencari sumber rezeki di perairan demi untuk keluarga tersayang suatu ketika dahulu.
Kalau bekarih, Insya-Allah belurih
Haji Bidin yang telah menceburi dunia membintur ketam lebih kurang 30 tahun ini turut menjelaskan bahawa aktiviti membintur dijalankan empat kali dalam seminggu.
Sebelum ini, beliau yang bermodalkan perahu berenjin moden itu hanya menggunakan kemudahan berkenaan untuk membubu ikan, namun lama-kelamaan lebih memfokuskan kepada aktiviti membintur sehingga ke hari ini.
Dengan menggunakan bintur jenis rawai yang diperbuat daripada besi, setiap bintur dipasang kira-kira tujuh depa pada tali besar sepanjang 500 meter di dalam kawasan-kawasan perairan kuala Sungai Tutong yang memiliki potensi penangkapan ketam. Antaranya di kuala sungai, tepi sungai, kawasan yang mempunyai pohon-pohon bakau dan nipah. Begitu juga dalam membintur, beliau kebiasaannya menggunakan umpan yang terdiri daripada potongan ikan berisi kental seperti ikan pari.
“Kalau bekarih, Insya-Allah belurih. Itulah prinsip yang sentiasa saya semai dalam diri ini setiap kali pergi membintur. Kebiasaannya saya memperoleh rezeki antara lima hingga lebih 20 kilo apabila turun sepanjang hari,” tambahnya dengan nada penuh kesyukuran.
Beliau turut menjual hasil tangkapan ketam yang kebiasaannya sudah menerima tempahan daripada orang ramai pada hari-hari sebelumnya.
Tiada petua namun hanya berserah padaNya
Lazimnya, semasa air pasang, di saat itulah Haji Bidin turun membintur. Antara jenis ketam yang biasa ditangkap ialah ketam kaluk dan juga ketam nipah atau bakau.
Ketam kaluk sememangnya memiliki permintaan yang tinggi sejak dari dahulu sehingga sekarang kerana ia mempunyai isi yang tebal dan manis, lebih-lebih lagi ia amat sesuai dimasak dengan cili merah.
“Sememangnya tiada petua-petua yang digunakan dalam meniti dunia membintur ini, namun hanya berserah pada rezeki Ilahi dengan sentiasa memohon doa agar dipermudahkan segala urusan dalam setiap langkah mencari hasil tangkapan,” ucapnya dengan penuh ketulusan meski pun kadang-kadang menghadapi cabaran seperti bintur mengalami kerosakan disebabkan oleh buaya, biawak, ular air serta ikan-ikan besar yang memakan umpan yang diletakkan di dalam bintur.
Yakinlah dengan rezeki Ilahi
Sebelum mengakhiri perkongsian beliau, insan yang terkenal sebagai pembintur ketam kaluk di Daerah Tutong ini turut menyarankan kepada masyarakat di negara ini khususnya generasi muda supaya berkecimpung dalam dunia perusahaan sebegini yang pastinya mampu menjanjikan pulangan yang lumayan.
“Meskipun penat dan lelah serta cabaran yang sentiasa timbul dalam apa sahaja pekerjaan yang kita lakukan namun yakinlah rezeki Allah SWT itu sentiasa ada jika kita menyemai sikap ikhlas dan sabar dalam diri demi meraih rezeki yang halal,” ucapnya dengan penuh keyakinan sambil turut bersyukur kerana menerima sambutan menggalakkan daripada para pelanggan tetapnya termasuklah pengusaha restoran makanan laut di negara ini.