Pelakon Beego tampil mempertahankan diri selepas dakwaan yang dibuat isterinya iaitu aktres Linda Hashim mengatakan dia culas dalam menjalankan tanggungjawab.
Menjawab kenyataan yang dibuat, Beego atau Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 45, kembali mempersoalkan keberadaan isterinya itu selama lebih sembilan bulan mereka berdepan masalah rumah tangga.
Menurut laporan mStar, Linda langsung tidak pulang ke rumah dan melaksanakan peranan baik sebagai isteri.
“Linda kata dia masih isteri yang sah, kalau betul kenapa tidak balik rumah? Sembilan bulan saya tunggu. Di mana tanggungjawab isteri itu? Dia tiada di rumah sedangkan saya masih duduk sendiri sepanjang tempoh itu”.
“Saya panggil balik secara elok, tetapi dia tidak mahu,” katanya ketika dihubungi mStar pada Jumaat.
Berhubung dakwaan tidak memberi nafkah buat anak-anak, Beego menegaskan dia mempunyai bukti setiap transaksi dalam hal tersebut.
Namun pelakon ini turut meluahkan rasa kesal kerana kesukaran berkomunikasi dengan Linda untuk menyelesaikan sebarang masalah antara mereka.
“Saya beri duit nafkah setiap bulan dan ada bukti. Selama sembilan bulan ini tak pernah nak berinteraksi dengan saya. Kami hanya berhubung melalui anak sulung. Apabila nak duit, dia akan minta. Dia sendiri tidak mainkan peranan sebagai seorang isteri,” ujarnya kepada mStar.
Dalam masa sama pelakon ini juga tidak bersetuju apabila Linda terlalu terbuka berkongsi kisah rumah tangga mereka di media sosial sehingga boleh menimbulkan salah faham.
Malah Beego juga kukuh dengan pendirian untuk terus mempertahankan rumah tangga mereka.
“Adakah dia buat semua ini untuk provoke orang luar supaya saya nampak buruk? Atau adakah ini caranya untuk saya lepaskan dia? Saya cuba sebaik mungkin untuk selamatkan perkahwinan. Saya faham dia tak mahu, tetapi tidak perlu nak keruhkan keadaan lagi,” luahnya.- Agensi
