Tidak kisah dilabel sebagai artis sombong, pelakon Indonesia Dian Sastrowardoyo (gambar-Agensi) mempunyai alasan tersendiri untuk menolak permintaan peminat yang mahu mengambil foto bersamanya.
Memetik laporan Kompas, Dian bertindak demikian kerana pernah berlaku situasi di mana dia diganggu ketika sedang bercuti bersama keluarga.
“Saya pernah berpengalaman, sekali saya beri peluang buat peminat mengambil foto bersama, ternyata yang disebelahnya juga mahu.
“Jadi, akhirnya ramai yang beratur untuk minta gambar bersama,” katanya.
Dalam pada itu, Dian menyifatkan hari cuti adalah masa untuk diluangkan bersama keluarga dan bukan urusan kerja.
“Hari minggu adalah hari bersama keluarga, jadi saya tidak mahu terlalu memberi fokus kepada urusan kerja. Jika tidak, akhirnya saya akan habiskan waktu 80 peratus untuk melayan peminat.
“Malah, saya sudah berjanji dengan keluarga, sekiranya kami keluar ke pusat membeli-belah, saya tidak akan melayan peminat yang mahu bergambar,” ujarnya.
Bagaimanapun, pelakon Ada Apa Dengan Cinta itu tidak akan menolak permintaan peminat sekiranya mereka mahu bergambar ketika waktu kerja.
Kata Dian, dia berasa bersalah sekiranya mengabaikan anak-anak dan suami ketika waktu bercuti semata-mata untuk melayani peminat.
“Saya akan melayani peminat untuk bergambar bersama sekiranya sedang di lokasi penggambaran atau pada acara perjumpaan peminat.
“Tapi kalau sedang bersama keluarga, saya harus fokus kerana inilah kerja saya sebagai ibu dan isteri. Saya rasa saya menjadi ibu yang jahat sekiranya membiarkan anak-anak dan melayan peminat.
“Kalau ada yang mahu mengatakan saya sombong terpulanglah. Paling pen-ting, saya sudah buat yang terbaik untuk keluarga sendiri,” katanya. – Agensi