Pelakon dan penyanyi Malaysia, Hannah Delisha menyokong kempen menyelamatkan kucing terbiar yang kini sedang hangat dilakukan susulan kematian beberapa kucing dalam keadaan menyayat hati di Universiti Malaya, baru-baru ini.
Menurut BH Online, sebagai pencinta haiwan, Hannah yang memiliki tiga kucing pernah menyelamatkan anak kucing yang sedang berkeliaran di tengah lebuh raya, awal tahun ini.
Dalam kejadian itu, Hannah berkata, dia sedang melalui Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) dan ternampak anak kucing jenis Calico berkeliaran sendirian.
“Saya bimbangkan keselamatan dan kasihan melihat kucing masih terlalu kecil. Saya berhentikan kereta dan membawa kucing itu pulang.
“Ketika itu, saya terfikir siapalah yang zalim hingga sanggup meninggalkan anak kucing di tengah lebuh raya.
“Tapi, bila melihatkan kenakalannya sekarang yang sudah semakin dewasa, saya rasa kucing yang dinamakan Dashy sempena nama lebuh raya itu bukan dibuang, tetapi mungkin naik sendiri atas jalan berkenaan,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran dua produk CONBOO, Beau3 Milk dan minyak wangi, CONBOO Scents, di sini, petang kelmarin.
Hannah berkata, dia sangat menggalakkan orang ramai menyelamatkan kucing terbiar kerana haiwan juga memerlukan kasih sayang.
“Saya faham ada sesetengah orang mungkin sukakan kucing comel dan mahal, tapi kalau berkemampuan, selamatkan kucing terbiar.
“Jagalah seikhlas hati dengan memberi tempat perlindungan yang selesa dan makanan mencukupi seperti menjaga anak.
“Satu lagi, janganlah menjaga separuh jalan, sebaliknya berikan komitmen sepenuhnya kepada kucing diselamatkan,” katanya. – Agensi