Isu lama namun masih berulang-ulang, pelakon Datuk Remy Ishak tampil menyelar kumpulan penggemar aktiviti berbasikal khususnya penunggang basikal rekreasi agar cakna terhadap undang-undang jalan raya, terutama membabitkan kayuhan di lebuh raya.
Remy atau nama lengkapnya Mohammad Zalimei Ishak, 43, berkata setiap pengguna jalan raya perlu mematuhi peraturan ditetapkan agar tidak mendatangkan risiko kepada pihak lain menurut laporan Kosmo Online!
“Katanya kayuh sihatkan badan. Nampaknya yang paling besar bukan betis, tapi ‘besar kepala’. Jalan raya itu untuk dikongsi ramai, bukan tapak kayuhan ego sendiri. Kalau tak boleh ditegur, baik kayuh dalam mimpi,” katanya menerusi Insta Story.
Dipercayai teguran diluahkan susulan tular video sekumpulan penunggang basikal yang didakwa menghalang laluan bas di Kuala Selangor.
Sekumpulan penunggang basikal mendakwa dimarahi seorang pemandu bas, namun daripada bukti paparan video lain kelihatan penunggang basikal memasuki laluan lorong lebuh raya.
Sebulan sebelum itu berlaku insiden hampir sama membabitkan kumpulan penunggang basikal lain mereka berkonvoi di lorong motosikal yang sempit dan membuat formasi dua baris.
Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan aktiviti berbasikal di lebuh raya dilarang kerana laluan tersebut direka khusus untuk kegunaan pelbagai jenis kenderaan bermotor seperti lori, bas dan motosikal.
Larangan digariskan penting demi keselamatan semua pengguna jalan raya, termasuk penunggang basikal sendiri yang berisiko tinggi sekiranya berkayuh di lebuh raya.
Pesalah boleh didenda antara RM1,000 hingga RM5,000 atau dipenjara tidak melebihi 12 bulan, bergantung kepada kesalahan yang dilakukan. – Agensi
