Khamis, November 20, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kalau tak selamat, selesa, saya takkan buat – Anna Jobling

    Kali kedua membintangi filem arahan pengarah sama, selalunya seseorang pelakon itu pasti akan dilabel sebagai anak emas.

    Tidak terlepas daripada dilabel sebegitu, Anna Jobling menangkis dakwaan itu dengan menegaskan pemilihannya dalam filem kedua seram Baim Wong iaitu Sukma adalah disebabkan hasil kerja keras sendiri.

    Pemilik nama penuh Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman itu berkata, menjaga disiplin diri adalah kunci utama dan perkara tersebut yang dipraktikkannya sejak bergelar anak seni sehingga berjaya menembusi pasaran Indonesia.

    “Saya juga sentiasa merendah diri dan menjalin hubungan baik dengan semua orang yang ada di set penggambaran termasuk kru produksi serta pihak katering bagi mewujudkan keselesaan.

    “Berikan hasil kerja yang terbaik dan lakukan secara serius sebab nak dapatkan peluang itu sangat sukar,” katanya kepada HibGlam.

    Anna selesa bekerjasama dengan Baim buat kali kedua menerusi filem Sukma yang mendapat sambutan hebat daripada penonton. – Kosmo Online

    Mengenai dilabel sebagai anak emas Baim, pelakon berusia 25 tahun itu menjelaskan tawaran filem Indonesia bukan hanya daripada Baim sahaja, sebaliknya ada beberapa naskhah bersama pengarah lain.

    “Ini semua rezeki dan dia nampak potensi saya. Tak baik cakap macam itu, jahat mulut.

    “Sebenarnya ada filem lain saya berlakon, bukan dengan Baim sahaja seperti Laut Tengah yang ditayangkan tahun lalu.

    “Tiada istilah ambil kesempatan atau merayu minta diambil berlakon. Tambahan pula saya memang selesa bekerja dengan pasukan produksinya,” ujar bintang filem Lembayung yang juga arahan Baim.

    Bercerita lanjut mengenai Sukma yang turut dibintangi Luna Maya, Christine Hakim dan Fedi Nuril, dia menyifatkan naskhah tersebut mengetengahkan elemen seram berbeza.

    “Jalan cerita ini sangat best dan seramnya berbeza. Para pelakon juga bukan calang-calang dan mereka tak pernah biarkan saya rasa keseorangan di set penggambaran.

    “Memang gemuruh perlu bekerja dengan nama-nama besar tetapi mereka buat saya rasa seperti berada di rumah.

    “Mereka sangat merendah diri dan selalu ajak saya keluar bersama pada hari yang tiada penggambaran,” katanya lagi. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda