Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 DIS – Lapan orang jemaah umrah Negara Brunei Darussalam telah berlepas ke Tanah Haram, kelmarin, bagi menunaikan ibadah umrah di bawah pengurusan dan pengendalian Syarikat Pelancongan As-Safa Sdn Bhd.
Hadir menyertai rombongan berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif As-Safa, Pengiran Haji Mohd Naasiruddeen bin Pengiran Haji Yusoff.
Menurut kenyataan yang diberikan, rombongan jemaah umrah berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei menuju Jakarta dan seterusnya ke Madinah.
Sebelum ini, Pengiran Haji Mohd Naasiruddeen mengucapkan rasa syukur kerana telah diberikan kebenaran daripada Jabatan Urusan Haji untuk mengendalikan umrah. Ini adalah kali pertama syarikat tersebut diberikan kebenaran untuk mengendalikan umrah.
“Apa yang penting, keselamatan jemaah adalah diutamakan dan pakej ini menyediakan penginapan di Hotel Madinah Hilton dan Hotel Hyatt Regency di Mekah,” katanya.
Pengangkutan eksekutif dari Madinah ke Mekah akan turut disediakan demi keselesaan para jemaah.