Wednesday, February 1, 2023
23.8 C
Brunei

-

Kaligrafi Cina lambang kemeriahan dan tuah

GUA MUSANG, KELANTAN – Tulisan kaligrafi Cina merupakan antara elemen penting bagi masyarakat Tionghua yang melambangkan kemeriahan dan tuah dengan melekatkannya di bahagian kiri dan kanan pintu rumah atau bangunan sebagai dekorasi sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina. 

Liew Koon Yan, 54, berkata sambutan perayaan Tahun Baharu Cina tidak lengkap tanpa hiasan di dinding dan pintu rumah, tokong dan premis yang didiami sekiranya tidak dihiasi dengan kaligrafi.

Beliau yang juga seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indra Petra 2 memilih untuk mengajar golongan muda masyarakat Cina mempelajari seni tulisan tersebut sebagai rutin tahunan sempena perayaan tersebut. 

“Seni tulisan kaligrafi ini ditulis dengan dakwat dan berus Cina, menggunakan kertas berwarna merah yang melambangkan kemeriahan atau membawa ‘ong’ (tuah).

“Walaupun zaman sekarang sudah moden, masih ada golongan muda kaum Cina terutamanya murid dan pelajar sekolah di sini mempunyai minat terhadap seni tradisional kebudayaan Cina ini,” katanya ketika ditemui pemberita, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Koon Yan berkata setiap patah perkataan yang ditulis bukan hanya melambangkan kesenian budaya mereka, malah membawa maksud dan doa yang melambangkan permulaan semangat baharu, kemakmuran dan keuntungan akan diperoleh dalam kehidupan yang selalunya tulisan kaligrafi ini mempunyai antara satu hingga tujuh perkataan yang berlainan.

Sementara itu, pelajar Koon Yan bernama Belle Ng Pui En, 12, berkata seni tulisan kaligrafi dipelajarinya sejak lima tahun lepas bersama dua rakan sebaya-nya, Soo Yee Han dan Liew Yu Xi, yang juga murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Gua Musang. 

“Setiap tahun kami bertiga secara sukarela akan membuat beberapa seni kaligrafi untuk digantung di kawasan tokong, secara tidak langsung melatih diri kita untuk bertenang dan bersabar untuk membuat lakaran tulisan yang cantik. Saya harap kesenian tulisan kaligrafi ini akan terus terpelihara dan dipelajari oleh semua golongan muda terutama kaum Cina,” katanya. – Bernama

Liew Koon Yan (dua, kiri) memberikan tunjuk ajar kepada tiga pelajarnya untuk menghasilkan tulisan kaligrafi Cina sebagai hiasan di Tokong Kuan Tai Meow, Bandar Lama ketika ditemui pemberita. – Bernama
- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Hampir 50 maut dalam insiden letupan masjid

PESHAWAR, PAKISTAN, 30 JAN – Pegawai polis antara kira-kira 47 orang terbunuh dan 150 lagi cedera dalam satu letupan di sebuah masjid di dalam...
- Advertisment -