Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kaligrafi kayu: Warisan Islamik tempatan ‘bergema’ di Asia Tenggara

    KOTA BHARU – Siapa menyangka sebuah hiasan dinding ayat Al-Quran yang diukir menggunakan kayu lapis tempatan mampu menarik minat pembeli dari seluruh Asia Tenggara.

    Inilah rezeki yang diraih Muhammad Ali Che Pa, 31, yang bangkit memanfaatkan bakat seninya selepas diberhentikan kerja sebagai wakil jualan produk kesihatan pada 2020, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    “Saya buntu mencari sumber pendapatan ketika itu. Dari situ saya terdetik untuk mencipta hiasan dinding yang menampilkan tulisan ayat-ayat al-Quran, menggunakan kayu sedia ada di rumah,” katanya kepada Bernama di bengkelnya di Kampung Pangkal Kalong, Kok Lanas, baru-baru ini.

    Berbekalkan minat mendalam dan ilmu daripada Facebook serta YouTube, beliau mengambil masa enam bulan sebelum berjaya menghasilkan ukiran pertama dan tidak disangka hasil pertamanya itu terjual pada harga RM150 selepas dimuat naik di Facebook.

    Kini, graduan Ijazah Pengurusan Islam Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu menghasilkan pelbagai produk ukiran kayu bertemakan islamik daripada bingkai kaligrafi, jam dinding sehingga hiasan dekorasi rumah yang menjadi buruan pelanggan dari Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura.

    Muhammad Ali Che Pa menghasilkan produk kayu bertemakan islamik. – Bernama

    Namun pada awalnya, kerja ukir secara manual mengambil masa hingga empat hari bagi satu produk ringkas, selain mengehadkan pengeluaran kepada hanya 15 produk sebulan.

    Menyedari keperluan untuk meningkatkan produktiviti, Muhammad Ali beralih kepada teknologi mesin laser sejak dua tahun lepas dan ia bukan sahaja mempercepat proses penghasilan, malah menaikkan kualiti ukiran bagi memenuhi permintaan pelanggan yang inginkan ketelitian halus.

    Beliau turut menerima bantuan mesin penghala kayu (CNC) bernilai RM10,000 daripada RISDA Kelantan di bawah program bimbingan usahawan.

    Dalam masa terdekat, beliau bakal menerima sebuah lagi mesin laser cut bagi menambah keupayaan pengeluaran. Dengan adanya teknologi itu, Muhammad Ali kini mampu menghasilkan lebih 300 produk sebulan yang dijual pada harga serendah RM3 hingga mencecah RM800 seunit.

    Pendapatannya juga melonjak kepada lima angka sebulan, hasil permintaan tinggi produk ukiran ayat-ayat Al-Quran yang menjadi pilihan utama dekorasi rumah moden. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda