GENEVA, 14 NOV – Kalung berlian misteri yang dikaitkan dengan skandal kejatuhan ratu terakhir Perancis, Marie Antoinette, dijual pada harga AS$4.8 juta pada acara lelongan di Geneva, semalam.
Permata abad ke-18 yang mengandungi kira-kira 300 karat berlian itu pada asalnya dianggarkan dijual pada jualan Sotheby’s Royal and Noble Jewels, pada harga antara AS$1.8 hingga AS$2.8 juta.
Bagaimanapun, selepas bidaan, harganya meningkat pada AS$4 juta dan Sotheby’s menyenaraikan harga akhir selepas cukai dan komisen pada AS$4.81 juta.
Beberapa berlian pada kalung itu dipercayai berasal daripada perhiasan yang menjadi punca utama ‘Skandal Kalung Berlian’ — skandal pada 1780an yang telah menjejaskan reputasi ratu terakhir Perancis, Marie Antoinette dan mengukuhkan sokongan terhadap Revolusi Perancis ketika itu.
Sotheby berkata, kalung itu terdiri daripada tiga baris berlian yang dihias dengan jumbai berlian pada setiap hujungnya, muncul ‘secara ajaib’ daripada koleksi peribadi individu Asia, dan ditampilkan kepada umum buat kali pertama dalam tempoh 50 tahun.
“Permata antik yang mengagumkan ini adalah peninggalan sejarah yang luar biasa,” kata rumah lelong itu dalam kenyataan sebelum acara jualan.
Digambarkan sebagai ‘jarang ditemui dan sangat berharga’, Sotheby’s menyatakan bahawa kalung dari era Georgia itu mungkin dihasilkan sekitar sedekad sebelum Revolusi Perancis.
“Kalung ini diwarisi dari generasi ke generasi. Pada awal abad ke-20, ia adalah sebahagian daripada koleksi Marquess of Anglesey,” kata Pengerusi Bahagian Permata Sotheby’s, Andres White Correal kepada AFP ketika kalung itu dipamerkan di London pada September lalu. – AFP