GUA MUSANG – Tradisi memakan ‘kalung sireh’ (akar kayu pokok sirih bukit) oleh masyarakat Orang Asli suku kaum Mendriq di Kampung Kuala Lah di sini, semakin dilupakan kerana tumbuhan itu sukar diperoleh.
Budaya turun-temurun yang telah lama diamalkan nenek moyang mereka sejak ratusan tahun yang dipercayai mempunyai banyak khasiat untuk tubuh badan, kini hanya diamalkan oleh segelintir masyarakat Orang Asli.
Suri rumah, Anis Jusoh, 40, berkata sukar mencari pokok sirih bukit itu kerana ia hanya tumbuh di kawasan pedalaman hutan yang memerlukan masa dua hari untuk menjumpai tumbuhan itu.
“Lazimnya, kalau kami menemukan pokok sirih bukit itu, kami akan mencabut sehingga akar untuk dijadikan ‘kalung sireh’ sebelum dimakan, serta mendapatkannya sebanyak mungkin sebagai stok bekalan kerana tidak perlu kembali ke hutan lagi,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Anis berkata ia merupakan menu wajib bagi masyarakat Orang Asli tidak mengira usia, lelaki atau wanita dan sejak kecil, dia sendiri diajar oleh ibu bapanya untuk mengunyah ‘kalung sireh’ itu.
“Pemakanan ‘kalung sireh’ ini saya terapkan dalam keluarga agar mereka tidak lupa seterusnya ia boleh diwarisi oleh generasi akan datang,” katanya.
Bercerita tentang cara pemakanan tumbuhan itu, Anis berkata ‘kalung sireh’ lebih enak jika dicampur dengan sedikit kapur, gambir dan buah pinang yang kemudian dibalut dengan daun sirih dan dimasukkan ke dalam cangkerang siput sedut sebelum dibakar.
Setelah dibakar, katanya cangkerang yang padat dengan ‘kalung sireh’ itu akan diletakkan ke dalam bekas berisi air dan dibiarkan selama tiga hari, selepas itu cangkerang siput sedut berkenaan ditumbuk lumat dan dicampur dengan air sebelum sedia untuk dimakan.
“Kebiasaannya saya memakan ‘kalung sireh’ ini selepas memasak pada tengah hari sambil menunggu anak dan suami pulang dari tempat kerja,” katanya.
Selain itu, Kamarul Jeluk, 50, pula berkata ‘kalung sireh’ itu telah menjadi amalan pemakanan harian sejak kecil dan tidak lengkap harinya jika tidak mengunyah sirih.
“Rasa ‘kalung sireh’ ini pahit dan banyak khasiat untuk kesihatan tubuh badan antaranya mengatasi masalah bau mulut dan melancarkan sistem pencernaan badan,” katanya. – Bernama