Semenjak insiden diserang lelaki tidak dikenali di Singapura, pelakon Kamal Adli masih berada dalam keadaan trauma termasuk berkongsi kehidupan peribadinya di laman sosial.
Kamal atau Ahmad Kamal Ahmad Adli, 37, berkata, selain berasa trauma, dia juga bimbang sekiranya perkongsian itu membuatkan ada pihak berasa tidak puas hati terhadapnya dan insiden sama berulang.
“Selepas kejadian itu saya tiba-tiba jadi takut berdepan media sosial… Nak dapatkan balik mood untuk berkongsi sesuatu mengambil masa sebab insiden itu beri kesan besar pada saya.
“Sampaikan kadang-kadang saya bertanya apa salah saya, saya tak kacau orang. Jadi saya belajar untuk lebih berhati-hati dan kurangkan perkongsian di media sosial,” katanya kepada mStar.
Kamal berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui di sidang media drama bersiri BARISTA: Misi Terpaling Sulit yang diadakan kelmarin.

Dalam pada itu, suami kepada aktres Uqasha Senrose itu bagaimanapun meluahkan rasa syukur terselamat daripada kejadian itu dan diberi peluang kedua untuk meneruskan kehidupan.
Kata Kamal, insiden itu juga membuatkan dia mahu menjadi insan lebih sempurna berbanding sebelumnya.
“Saya bersyukur sangat sebab masih ada peluang bersama keluarga, isteri dan meneruskan pekerjaan seperti biasa.
“Sebelum ini, saya bukanlah jahat sangat orangnya tapi saya akan jadi lebih baik selepas insiden itu,” luahnya.
“Sekarang saya cuma tunggu dan baca artikel-artikel dari Singapura mengenai kes ini.
Buat masa ini, memang tiada pihak polis menghubungi memaklumkan perkembangan kes.
“Cuma saya tertanya-tanya juga kenapa dia serang dan ketuk kepala saya,” katanya. – Agensi