Pelakon Kamal Adli menyangkal dakwaan dia dan aktres Uqasha Senrose hadir ke mahkamah syariah bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka.
Menurut Kamal atau Ahmad Kamal Ahmad Adli, 39, bercerai adalah perkara yang hampir mustahil untuk dilakukan kerana dia terlalu menyayangi keluarganya.
“Tak pernah lagi! Mahkamah syariah pun saya tak tahu kat mana! Doakan yang baik-baik sahaja dan mustahil untuk saya pergi ke tahap itu.
“Insya-Allah tidak, saya sayang anak dan isteri saya,” katanya kepada mStar.
Kamal berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis Unifi TV Originals Ramadan Raya di The Boathouse, Ampang, Selangor pada malam kelmarin.
Jelas Kamal hubungan dia bersama Uqasha sememangnya tiada masalah dan menganggap dakwaan rumah tangga sedang bergolak hanyalah andaian orang ramai semata-mata.
Tambah Kamal, fokusnya sekarang adalah untuk kembali meluangkan masa dengan keluarga selepas lama meninggalkan mereka atas urusan kerja.
“Alhamdulillah setakat ini kami okay tiada masalah. Sekarang saya cuma mahu luangkan masa bersama keluarga sebab sebelum ini terlalu sibuk bekerja,” jelasnya.
Ditanya tentang emosi yang dihadapi, Kamal tidak berselindung dakwaan dilemparkan itu membuatkan hidupnya terganggu. Namun Kamal dan Uqasha mengambil pendekatan berdiam diri dan fokus pada kerjaya.
“Terganggu! Sebab ramai orang bertanya sampaikan ibu dan keluarga Uqasha tanya kami ada masalah ke?
“Cuma sekarang kami berdua memang tengah sibuk dengan kerja masing-masing,” ujarnya.
Untuk rekod, Kamal mendirikan rumah tangga dengan Uqasha sejak November 2021 dan telah dikurniakan cahaya mata perempuan bernama Hawra Uqaira yang kini berusia 10 bulan. – Agensi
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/7-Kamal_f.jpg)