Pelakon Malaysia, Kamal Bakar menghembuskan nafas terakhir pada pukul 1 pagi tadi, setelah dua bulan disahkan menghidap kanser paru-paru.
Berita pemergian Allahyarham berkenaan disahkan oleh anaknya yang juga pelakon, Muhammad Hanis Kamaruldzaman.
Memetik laporan mStar, Hanis memaklumkan bapanya meninggal dunia di Hospital Besar Melaka akibat komplikasi kanser dihidapi Allahyarham.
“Ayah saya sudah meninggal dunia pukul 1 pagi tadi,” katanya ringkas kepada mStar.
Kamal menghembuskan nafas terakhir pada usia 62 tahun.
Sementara itu, Hanis memaklumkan jenazah bapanya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Baru, Melaka pada Selasa.
Pada Sabtu lalu, Hanis memaklumkan bapanya dalam keadaan nazak dan keluarga diminta bersedia dengan sebarang kemungkinan.
Sebelum itu pada 17 Jun lalu, Kamal sudah berada dalam keadaan separuh sedar selepas dua minggu ditidurkan akibat komplikasi kanser dan kekurangan oksigen.
Malah aktor itu sudah mula menggerakkan anggota badan dan disebabkan itu tangannya terpaksa diikat bagi mengelakkan aktor itu bertindak mencabut wajar mesin bantuan pernafasan.
Allahyarham disahkan menghidap kanser sejak April lalu sebelum dikejarkan ke hospital pada 3 Jun lalu selepas keluarga bimbang dengan perubahan sikap ditunjukkan aktor berkenaan.
Kamal ketika itu enggan bercakap dengan sesiapa namun tidak menunjukkan beliau sedang sakit.
Untuk rekod, Kamal memulakan kerjaya seni sejak 1970-an menerusi beberapa drama seperti Suami Aku Ustaz, Andai Itu Takdirnya, Orang Minyak dan banyak lagi.
Allahyarham meninggalkan seorang balu iaitu Sarina dan lima cahaya mata. – Agensi
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/06/IMG_1483.jpeg)