CHICAGO, 23 OGOS – Calon presiden Parti Demokrat Amerika Syarikat, Kamala Harris berikrar menjadi presiden yang akan mewakili semua rakyat Amerika ketika beliau secara rasmi menerima pencalonan partinya kelmarin, lapor agensi berita Jerman (dpa).
“Saya akan menjadi presiden yang menyatukan kita dalam mencapai aspirasi tertinggi.
“Seorang presiden yang memimpin dengan mendengar. Realistik, praktikal dan mempunyai pertimbangan yang bijak dan sentiasa berjuang untuk kepentingan rakyat Amerika.
“Dalam pilihan raya ini, negara kita mempunyai peluang yang sangat berharga dan singkat untuk mengatasi kebencian, sinisisme dan perpecahan masa lalu. Satu peluang untuk melakar jalan baharu ke hadapan.
“Saya mencintai negara kita sepenuh hati. Di mana sahaja saya pergi dan setiap orang yang saya temui, saya melihat sebuah negara yang bersedia untuk maju ke hadapan.
“Bersedia untuk langkah seterusnya dalam perjalanan luar biasa iaitu Amerika,” katanya pada malam terakhir Konvensyen Nasional Demokrat di Chicago.
“Saya melihat Amerika yang berpegang teguh pada kepercayaan tanpa rasa takut, yang membina negara kita, yang memberikan inspirasi kepada dunia. Di sini, di negara ini, segala-galanya adalah mungkin. Tiada yang mustahil,” tambahnya.
Harris, yang baru sahaja dicalonkan dalam pilihan raya Presiden selepas Joe Biden menarik diri, akan berhadapan dengan calon Republikan, Donald Trump pada 5 November. – Bernama