Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kambing Katjang: Berbadan kecil tapi berperanan besar

    REMBAU – Di satu sudut sebuah kandang kayu di ladang ternak di sini, sekumpulan lima ekor kambing berhimpit sesama sendiri dalam keadaan takut-takut tatkala Kamaruzaman Budin berjalan perlahan-lahan ke arah haiwan tersebut.

    Berwarna hitam, coklat dan hitam bercampur coklat, tiga daripada kambing tersebut bertelinga pendek serta bertubuh kurus, namun ciri paling ketara ialah saiznya yang jauh lebih kecil berbanding kambing di kandang sebelah dengan sesetengahnya lebih tinggi daripada pagar yang menghadang.

    Menudingkan jari ke arah seekor kambing berwarna coklat dengan garisan hitam di sepanjang tulang belakangnya, sebelum beralih kepada dua ekor lagi, Kamaruzaman atau lebih dikenali sebagai Kamal, 67, memberitahu Bernama, beliau baru saja membeli lima ekor kambing itu daripada penternak lain yang mendakwa haiwan tersebut ialah baka Katjang tulen atau dipanggil Kacang oleh penduduk setempat dan merupakan satu-satunya kambing baka asal Malaysia.

    Bagaimanapun Kamal mendapati dua daripada kambing tersebut menunjukkan ciri-ciri hibrid, sementara yang lain pula mungkin baka tulen. Namun itu hanya akan diketahui secara pasti selepas melalui ujian DNA oleh saintis Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang kini sedang mencari dan membeli kambing Katjang dari seluruh Malaysia.

    Akan tetapi, beliau menganggap dirinya bertuah kerana dapat membeli kambing Katjang atau nama saintifiknya Capri aegagrus hircus, kerana baka itu semakin jarang ditemukan.

    Kamaruzaman Budin ketika berada di ladang kambing Katjang miliknya ketika ditemui Bernama. – Bernama
    Dr Ainu Husna M. S. Suhaimi memberi makanan kepada kambing yang dijaga untuk kajian teknologi DNA. – Bernama
    Antara kambing yang ada dijaga dengan baik untuk kajian teknologi DNA bagi memastikan keselamatan makanan di MARDI Serdang. – Bernama
    Antara kambing yang ada dijaga untuk kajian teknologi DNA bagi memastikan keselamatan makanan di MARDI Serdang. – Bernama
    Dr Ainu Husna M. S. Suhaimi yang ditemubual Bernama mengenai kambing Katjang. – Bernama
    Kamaruzaman Budin ketika berada di ladang kambing Katjang miliknya ketika ditemui Bernama. – Bernama

    Daya tahan penyakit kambing itu yang selama ini diambil mudah, kini menjadi isu kepentingan nasional.

    Selepas berdekad melalui proses kacukan tanpa kawalan dengan baka kambing import, Katjang kini berdepan kepupusan akibat pencemaran genetik.

    Dalam situasi Malaysia sedang bergelut dengan isu keterjaminan makanan, perubahan iklim dan peningkatan kos import, daya tahan semula jadi baka Katjang mungkin menjadi kunci kepada jalan keluar.

    Para saintis kini berlumba-lumba untuk menyelamatkan baka ini dengan menggunakan kaedah tradisional serta teknologi DNA moden dalam usaha pemuliharaannya.

    KAMBING TAHAN LASAK

    Sebelum ketibaan daging sejuk beku dan ladang ternakan industri di negara itu, kambing Katjang merupakan pemandangan biasa di kampung-kampung. Penternak hanya membiarkan haiwan itu meragut di tepi jalan, padang atau hutan.

    Tahan lasak serta tidak cerewet makan serta boleh tidur di mana-mana sahaja, haiwan itu telah berevolusi selama ribuan tahun untuk menyesuaikan diri dengan cuaca panas dan lembap di Malaysia serta penyakit yang ada.

    “Ada sebab Katjang wujud, menjadi baka asal di sana. Kambing itu yang terbaik di sini,” kata Dr Ainu Husna M. S. Suhaimi, pegawai penyelidik utama Program Teknologi Lanjutan dan Reproduktif di MARDI. “Sekarang di Malaysia, kita mula sedar, haiwan tempatan kita masih yang paling mampan.”

    Ciri fizikal kambing Katjang sangat ketara.Selain daripada saiznya yang kecil, kambing itu mempunyai bulu hitam atau coklat gelap yang licin, telinga pendek menegak dan meruncing, serta tanduk lurus yang juga menegak dan meruncing.

    Kambing jantan dewasa biasanya mempunyai berat tidak sampai 30 kilogram, jauh lebih ringan berbanding kambing import seperti Boer atau Jamnapari yang boleh mencecah dua kali ganda saiz tersebut. Walaupun baka itu sangat subur dan kerap melahirkan anak kembar, pengeluaran susu hanya cukup untuk anak-anaknya. Kambing itu juga mengambil masa lebih lama untuk membesar sepenuhnya dan tidak mempunyai banyak daging.

    Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dari 2001 hingga 2002, kambing Katjang telah diklasifikasikan sebagai berisiko untuk pupus, manakala statusnya disenaraikan sebagai ‘tidak diketahui’ oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO).

    Beberapa baka ternakan tempatan lain juga menghadapi risiko kepupusan, termasuk lembu Kedah-Kelantan, sementara satu lagi baka mungkin telah pupus. MARDI percaya, biri-biri asal Malin iaitu Ovis aries telah pupus sebagai satu baka.

    Lebih dua dekad kemudian, jumlah kambing Katjang yang masih ada di negara itu belum diketahui. MARDI memiliki kira-kira 100 ekor kambing Katjang di ladangnya di Kluang, Johor dan para penyelidiknya juga menjalankan usaha berterusan untuk mencari serta mendapatkan lebih banyak lagi baka itu.

    KAMBING KECIL PERANAN BESAR

    Sepintas lalu, usaha menyelamatkan Katjang mungkin kelihatan pelik kerana haiwan ternakan itu dipelihara untuk dimakan. Lagipun, jika satu baka kambing pupus, Malaysia boleh dapatkan kambing dari tempat lain.

    Namun kata pakar, isu tersebut tidak semudah itu.

    Meskipun industri kambing di Malaysia kecil, tetapi pasarannya tetap konsisten, terutama dalam kalangan umat Islam. Umat Islam menyembelih kambing sebagai korban dan dagingnya diagihkan semasa sambutan Aidiladha atau majlis akikah, iaitu majlis kesyukuran kelahiran anak.

    Bergantung pada import untuk memenuhi permintaan makanan menjadikan Malaysia mudah terdedah kepada kejutan dalam rantaian bekalan, seperti yang ditunjukkan oleh pandemik COVID-19 dan perang di Ukraine dan baru-baru ini, ketegangan antara India-Pakistan.

    Sementara itu, pengeluaran kambing tempatan terjejas akibat kos makanan ternakan yang tinggi, perbelanjaan veterinar yang mahal serta kadar kematian yang tinggi.

    Ahli genetik ekologi daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Shairah Abdul Razak memberitahu Bernama bahawa industri ternakan di Malaysia terlalu menumpukan pada keuntungan dan hasil daging yang tinggi, tanpa mengambil kira isu seperti kesan perubahan iklim terhadap ternakan.

    Para penyelidik bimbang kambing Katjang akan mengalami nasib yang sama seperti biri-biri Malin, yang dikenali dengan bulu kasar berwarna coklat muda dan dipercayai telah pupus akibat pembiakbakaan silang berlebihan.

    Namun begitu, Shairah berpendapat mungkin masih ada beberapa ekor biri-biri Malin tulen di Perak dan Pahang.

    TIADA KESEDARAN

    Di sebalik kepentingannya, projek pemuliharaan kambing Katjang berdepan dengan pelbagai halangan.

    Para penyelidik memberitahu Bernama mereka menghadapi kesukaran mendapatkan pembiayaan atau kerjasama bagi usaha pemuliharaan kerana orang ramai, termasuk para penternak, tidak memahami kepentingan menyelamatkan baka ternakan tempatan.

    Tanpa insentif kewangan atau permintaan pasaran terhadap kambing Katjang tulen, kebanyakan penternak kecil tidak akan memilih kambing bersaiz kecil dan lambat membesar berbanding kambing import yang lebih berdaging.

    Sementara itu, di bawah sinar matahari petang di ladang ternak tersebut, Kamal menuang sebaldi makanan ke dalam palung biru.

    Kambing-kambing itu datang untuk makan sambil saling menyondol lembut. Dia merenung sejenak, memerhati kelakuan haiwan tersebut. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda