Saturday, November 23, 2024
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kambing masak merah tampil unik

    Oleh Afiq Zainuddin –

    Amat jarang kita lihat hidangan kambing masak merah dijadikan sajian semasa jamuan perkahwinan bagi masyarakat di sini.

    Mungkin juga disebabkan harga kambing mahal jadi ia hanya dihidangkan sewaktu hari-hari tertentu, acara istimewa dan perhimpunan keluarga.

    Masakan ini mempunyai rasa pedas manis yang kaya dengan rempah-rempah yang memberikan cita rasa unik kepada daging kambing yang dimasak.

    Biasanya, daging kambing dipotong kecil dan dimasak dalam kuah merah yang pekat.

    Kuahnya biasanya berwarna merah kerana penggunaan tomato dan serbuk-serbuk rempah tertentu.

    Foto Canva
    Foto Canva
    Foto Canva
    Foto Canva
    Foto Canva
    Foto Canva

    Selain itu, hidangan ini juga sering dimasak dengan tambahan kayu manis, bunga cengkih dan bunga lawang untuk menambah aroma dan rasa yang sedap.

    Masakan ini sering disajikan sebagai hidangan utama pada majlis-majlis tertentu dan biasanya dihidangkan dengan nasi panas atau nasi minyak dan sering dianggap sebagai hidangan yang lazat dan menyelerakan di kalangan peminatnya.

    BAHAN-BAHAN

    Bercerita secara ringkas antara bahan-bahan yang diperlukan adalah seperti daging kambing yang dipotong dadu, tepung gandum, limau kasturi yang diperah jusnya, halia yang dihiris, bawang putih yang diketuk, garam, serai yang diketuk.

    Daun ketumbar yang dicuci dan toskan, kacang gajus yang digoreng hingga perang dan toskan, kismis kuning, susu sejat, pati oren Sunquick, satu tin kecil puri tomato, sos tomato, sos cili, cili kisar, gula melaka, garam dan gula secukup rasa, minyak sapi, kayu manis, bunga lawang, buah pelaga, bunga cengkih, bawang goreng, kacang pis dan daun pudina untuk hiasan.

    Manakala bahan-bahan kisar halus yang diperlukan adalah seperti, bawang besar, bawang merah, bawang putih, halia, lengkuas dan serai yang dihiris hingga halus.

    CARA PENYEDIAAN

    Mula-mula daging kambing itu hendaklah dicuci lalu ditoskan, kemudian gaul dengan tepung gandum dan jus limau kasturi hingga rata. Selepas itu perap selama 20 minit, cuci kembali hingga bersih dan toskan.

    Masukkan daging kambing ke dalam periuk, tuang air secukupnya, tambah halia, bawang putih dan 1 camca teh garam, setelah itu rebus hingga daging kambing empuk. Kemudian asingkan daging kambing dan air rebusannya ditapis lalu ketepikan.

    Kemudian panaskan minyak dalam kuali (1/3 cawan), masukkan minyak sapi.

    Setelah itu masukkan rempah tumis dan serai lalu masak hingga naik bau, kemudian masukkan cili kisar dan masak sekejap. Setelah itu tambahkan puri tomato dan bahan-bahan kisar halus. Kacau hingga rata dan masak hingga naik minyak, guna api kecil dan kacau selalu.

    Selepas itu masukkan sos tomato, cili sos dan juga kismis lalu kacau hingga rata dan tuang air rebusan daging kambing (anggaran dua cawan).

    Setelah itu biarkan ia mendidih, kemudian masukkan daging kambing rebus dan kacau rata. Masukkan susu sejat, gula melaka dan pati oren sunquick dan kacau lagi.

    Setelah itu masak hingga pekat, perasakan dengan garam secukupnya dan jika suka masak merah yang agak manis boleh tambah sedikit gula.

    Akhir sekali masukkan daun ketumbar (dipotong kasar) dan gajus goreng. Kacau rata dan masak sekejap lagi, rasa dan jika rasanya memuaskan boleh matikan api.

    Setelah itu taburkan kacang pis, bawang goreng dan daun pudina sebagai hiasan sebelum dihidangkan. Selamat mencuba.

    BAHAN-BAHAN
    • daging kambing (yang bertulang), dipotong kecil
    • tepung gandum
    • limau kasturi, perah jusnya
    • halia, hiris
    • bawang putih, diketuk (tak perlu dibuang kulit)
    • teh garam
    • serai, diketuk
    • daun ketumbar, cuci dan toskan
    • kacang gajus, goreng hingga perang dan toskan
    • kismis kuning, cuci dan toskan
    • susu sejat
    • pati oren Sunquick
    • satu tin kecil puri tomato
    • sos tomato
    • sos cili
    • cili kisar
    • gula Melaka
    • garam dan gula secukup rasa
    • minyak sapi
    • kayu manis
    • bunga lawang
    • buah pelaga
    • bunga cengkih
    • bawang goreng, untuk hiasan
    • kacang pis, untuk hiasan
    • daun pudina, untuk hiasan

    BAHAN-BAHAN UNTUK KISAR HALUS
    • bawang besar
    • bawang merah
    • bawang putih
    • halia
    • lengkuas
    • serai, hiris halus

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda