CANNES, 12 MEI – Keselamatan terkini menggunakan kecerdasan buatan (AI) akan diuji di Festival Filem Cannes untuk melihat potensi kegunaannya di Sukan Olimpik Paris dua bulan kemudian.
Kira-kira 40,000 pengunjung termasuk beberapa bintang filem terbesar dunia akan berada di Cote d’Azur untuk festival itu dari Selasa hingga 25 Mei.
Pihak berkuasa tempatan berkata mereka menggunakan 17 kamera eksperimen yang dilengkapi dengan teknologi AI yang sepatutnya ‘mengenal pasti peristiwa atau tingkah laku yang dianggap mencurigakan’ dan membantu mengesan bungkusan terbiar, senjata dan orang yang mencurigakan.
Dewan bandaran Cannes telah meminta untuk melaksanakannya sejak 2019 tetapi hanya diberikan kebenaran disebabkan perubahan dalam undang-undang pengawasan yang diperkenalkan untuk Sukan Olimpik yang bermula di Paris pada Julai, menurut Datuk Bandar, David Lisnard.
Beliau berkata bandar itu sudah pun mempunyai ‘rangkaian perlindungan video paling padat di Perancis’, dengan 884 kamera, satu untuk setiap 84 penduduk.
Cannes juga mempunyai 462 butang panggilan kecemasan yang tersebar di seluruh ruang awam dan bangunan.
Timbul kebimbangan mobilisasi untuk Sukan Olimpik akan menyebabkan festival kekurangan sumber polis.
Namun pihak berkuasa Paris berkata mereka menghantar kira-kira 400 pasukan keselamatan sebagai tambahan kepada 200 pegawai dan 66 ejen pengawasan yang sudah berada di Cannes.
Festival ini sudah pun mempunyai lebih daripada 400 pengawal keselamatan di sekitar tempat utama, Palais des Festivals, ditambah lagi dengan ejen keselamatan swasta yang bekerja di semua pesta pantai, vila dan kapal layar. – AFP