BARCELONA, 12 MEI – Jurulatih Barcelona, Hansi Flick berjanji akan berusaha untuk memperbaiki pertahanan pasukannya musim depan selepas tewaskan Real Madrid 4-3 dalam aksi La Liga Clasico yang mendebarkan kelmarin.
Pasukan Catalan tersebut melangkah ke ambang kegemilangan La Liga dengan kemenangan mereka di stadium Olimpik, menjarakkan tujuh mata di hadapan Madrid yang di tempat kedua dengan baki tiga perlawanan.
Pada peringkat akhir perlawanan, Madrid terlepas beberapa peluang baik untuk menyamakan kedudukan.
“Bukan mudah untuk kami mengerjakan beberapa perkara dalam latihan. Saya tahu kami perlu memperbaiki (pertahanan) dan kami akan melakukannya musim depan,” kata Flick kepada pemberita.
Barcelona bermain dengan barisan pertahanan yang tinggi dan Kylian Mbappe, yang menjaringkan hatrik dan dua gol yang tidak dibenarkan sementara Vinicius Junior beberapa kali menceroboh pertahanan.
Sementara di jentera serangan, penyerang-penyerang berbakat Barca telah menjaringkan 16 gol semasa menentang Real Madrid dalam empat pertemuan musim ini, Barca menang setiap kali.
“Bagi saya, ia tidak selalu menyeronokkan, kadang-kadang saya sangat hampa,” akui Flick.
“Saya sangat gembira dengan apa yang kami lakukan (secara umum) dan sudah tentu bola sepak adalah permainan yang penuh kesilapan. Mudah-mudahan, kami boleh menjadi lebih baik dan membuat lebih sedikit kesilapan.”
Flick berkata dia tidak menyalahkan pemain pertahanannya atas perjuangan pasukan untuk menghalang gol dan ia lebih kepada isu yang sistematik.
“Saya rasa perjalanan yang kami mulakan tahun lepas, ia belum berakhir. Saya tahu kami perlu banyak memperbaiki bahagian pertahanan,” tambah jurulatih itu.
“Ia tiada kaitan dengan empat pemain di belakang. Apabila kami melakukan kesilapan, Real mempunyai penyerang yang hebat.”
Barcelona boleh tamatkan kejuaraan sekiranya menang bertemu Espanyol Khamis nanti atau sebelum itu jika Madrid kalah menentang Real Mallorca pada Rabu.
“Inilah bola sepak. Awda tidak tahu apa yang berlaku tetapi kami berada dalam kedudukan yang baik dan kami memerlukan tiga mata lagi,” kata Flick.
“Inilah yang kami mahu lakukan secepat mungkin, tetapi setiap perlawanan akan menjadi sukar, setiap lawan mahu menang menentang kami. Tetapi kami mempunyai kualiti dan jika kami bermain seperti hari ini, saya fikir kami boleh menjadi juara.” – AFP
