KUALA LUMPUR, 29 NOV – Johor Darul Ta’zim (JDT) berazam melakukan apa saja demi memastikan mereka membawa pulang trofi Piala Malaysia pada aksi final menentang Kuala Lumpur (KL) City FC di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.
Ketua jurulatih Harimau Selatan Benjamin Mora berkata sebagai juara bertahan, JDT mengekalkan identiti pasukan yang sentiasa dahagakan kejayaan dan bermain dengan taktik agresif dalam pertembungan esok.
“Sudah tentu awda boleh menjangkakan JDT, kami tidak akan berdiam diri untuk menunggu spekulasi dan melihat apa akan berlaku dalam perlawanan ini. Kami akan melakukannya, kami akan ‘telan’ lawan kami dan kami akan menjaringkan gol.
“Itu sahaja caranya untuk menang dalam final, dengan menjaringkan gol. Kami mara ke final untuk menang bukan hanya untuk beraksi,” katanya pada sidang media pra-perlawanan akhir di sini hari ini. – Bernama
