Friday, May 9, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kami baik-baik sahaja – Neelofa

    Spekulasi hubungan Neelofa dengan pendakwah bebas, Haris Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Riz, 26, dikatakan sudah terlerai, terjawab.

    Neelofa atau nama sebenar, Noor Neelofa Mohd Noor, 32, mengesahkan hubungan dengan tunangnya itu baik dan positif.

    Usahawan dan bekas pengacara itu menjelaskan kontroversi hubungan dengan Riz yang dikatakan bergolak, bulan lalu, hanya salah faham.

    “Alhamdulillah, hubungan kami baik-baik sahaja dan positif. Apa yang terjadi baru-baru ini, hanyalah salah faham.

    “Cerita yang tidak berasas hanya memburukkan keadaan. Sejak insiden itu, hubungan kami okay sahaja,” katanya pada sidang media maya sempena pelancaran aplikasi gaya hidup Islam, The Noor yang dibangunkannya, hari ini.

    Neelofa mengesahkan hubungan dengan tunang, PU Riz baik-baik sahaja dan positif. – Agensi

    Neelofa yang mengikat pertunangan dengan Riz pada 1 November lalu menganggap cabaran dilalui dalam tempoh ikatan itu adalah perkara biasa dalam mana-mana perhubungan.

    “Tipu kalau saya cakap dalam perhubungan, tidak ada pahit manis dan naik turun. Kami juga melalui pengalaman sama.

    “Ada masa timbul salah faham yang mengganggu perhubungan. Tetapi kami berjaya tangani cabaran itu dengan baik.

    “Kami banyak berbincang dan saling berkomunikasi. Kini semuanya semakin baik dan positif. Dalam hal ini, keluarga turut membantu,” katanya.

    Mengenai hubungan dua famili dikatakan dingin berikutan perkongsian ahli keluarga Neelofa dalam media sosial berhubung kontroversi tercetus seolah-olah ditujukan kepada pendakwah itu, Neelofa berkata: “Alhamdulillah, hubungan keluarga dengan Harris baik. Dalam hal ini, kami berdua yang perlu bijak memainkan peranan.

    “Ketika keadaan tegang, saya beri peluang kepada semua orang untuk bertenang terlebih dahulu.

    “Apabila semua orang sudah bertenang, barulah kami memainkan peranan. Kami terangkan situasi sebenar.

    “Saya amat bersyukur kerana langkah yang diambil menjernihkan kembali keadaan. Sekiranya kami rapuh, tentulah keadaan tambah buruk,” katanya.

    Ditanya mengenai perancangan bernikah, Mac depan, Neelofa berkata, perkara itu akan dikongsi dalam sidang media berasingan, tidak lama lagi.

    “Saya akan kongsi dalam masa terdekat. Dalam keadaan sekarang, di mana angka (jangkitan) COVID-19 pada tahap membimbangkan, banyak kekangan yang terpaksa dihadapi.

    Mengenai aplikasi The Noor yang boleh dimuat naik mulai semalam, Neelofa yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Noor Luminous Sdn Bhd, berkata, pihaknya meletakkan sasaran sejuta pengguna. Aplikasi yang diwujudkan hasil perkongsian tiga rakan kongsi itu dilengkapi pelbagai ciri khas seperti waktu solat, arah kiblat dan lokasi masjid berdekatan.

    Selain itu, The Noor menawarkan fungsi tafsir al-Quran dalam lima bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Mandarin, Tamil dan bahasa Indonesia. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda