Kami belum bertunang – Syifa Melvin

Pelakon Syifa Melvin menafikan dirinya sudah bertunang dengan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid.

Syifa mengulas foto dirinya memakai gaun pengantin rona putih dan memegang sejambak bunga lili dengan tanda pagar #countingdays (menghitung hari) yang dimuat naik di Instagram (IG) yang tular, selepas hubungan dengan penyerang JDT itu hangat diperkatakan..

Syifa atau nama sebenarnya, Nur Syifa Athirah Amirol Melvin, 26, berkata, foto itu adalah kempen promosi produk kosmetik keluaran adik-beradiknya, Kekasih, yang dimuat naik di laman sosial.

Enggan mengulas lanjut kontroversi hubungan dengan Safawi, Syifa tidak mahu isu berkenaan berpanjangan.

“Saya minta maaf… Saya tidak mahu lagi komen mengenai hal ini. Saya kira cukuplah komen yang diberi dalam status terbaru yang dimuat naik di IG.

Syifa Melvin menafikan dirinya sudah bertunang dengan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid. – Agensi

“Saya cuma serabut kerana menjadi mangsa fitnah. Saya tak terkesan pun dengan kata-kata dilemparkan. Saya masih menjalani hidup seperti biasa dan tidak mahu memanjangkan lagi kekecohan ini,” katanya kepada BH Online.

Terdahulu, Syifa menafikan hubungan dengan Safawi menjadi punca prestasi kurang memberangsangkan penyerang itu.

Syifa yang terkejut dengan laporan disiarkan kerana tidak pernah ‘membuka’ mulut selepas kontroversi prestasi Safawi tular, mendakwa dia tidak pernah meminta penyerang JDT itu menyara hidupnya.

Syifa mendakwa, dia bekerja keras mencari duit sendiri dan tidak cukup rehat untuk menampung perbelanjaan harian.

Mengulas kontroversi tercetus, Safawi dilaporkan bertekad kembali ‘mengaum’ selepas memperaga aksi kurang memberangsangkan dalam tiga aksi diharungi musim ini.

Syifa berkata, kontroversi tercetus tidak menjejaskan hubungan dengan Safawi.

“Hubungan kami tiada masalah. Kami okay sahaja cuma sedikit terkilan apabila ada yang tuduh saya hendak menumpang populariti teman lelaki.

“Sedangkan susah payah saya bekerja untuk berada di tahap ini,” katanya.

Sebelum ini, Pemain Paling Bernilai Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2019 itu dilihat gagal meneruskan rentak konsisten musim lalu apabila bergelut dan gagal memberikan impak seperti yang diharapkan kepada pasukannya. – Agensi